Rawatan pengekalan agonis untuk wanita hamil yang bergantung kepada opiate

Soalan ulasan

Ulasan ini meringkaskan kajian-kajian penyelidikan yang membandingkan pelbagai jenis rawatan pengekalan farmakologi untuk wanita hamil dengan ketergantungan opiate

Mesej utama:

Metadon dan buprenorfina mungkin serupa efikasi dan keselamatan untuk rawatan wanita hamil yang bergantung kepada opiate dan bayi mereka. Tiada cukup bukti untuk membuat kesimpulan perbandingan antara metadon dan morfin pelepasan perlahan. Secara keseluruhannya, bukti adalah terlalu sedikit untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Latar belakang

Sesetengah wanita terus mengguna opiate ketika hamil, namun heroin mudah menyeberangi plasenta. Wanita yang bergantung kepada opiate mengalami peningkatan komplikasi obstetrik maternal enam kali ganda dan boleh melahirkan bayi berat lahir rendah. Bayi yang baru lahir mungkin mengalami sarak narkotik (sindrom abstinens neonatal) dan masalah perkembangan. Terdapat juga peningkatan mortaliti neonatal dan peningkatan 74 kali ganda risiko sindrom kematian bayi mengejut. Rawatan pengekalan metadon menyediakan kepekatan opiate yang stabil dalam darah wanita hamil dan dengan itu mencegah kesan buruk sarak berulang dalam janin. Buprenorfina juga digunakan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 18 Februari 2020.

Ciri-ciri kajian

Hanya empat kajian rawak terkawal dengan 271 peserta memenuhi kriteria penyertaan ulasan: dua dari Austria (pesakit luar), satu dari AS (pesakit dalam) dan yang keempat adalah kajian antarabangsa berbilang pusat yang dijalankan di Austria, Kanada dan AS. Kajian-kajian itu berlangsung selama 15 hingga 18 minggu. Tiga kajian membandingkan metadon dengan buprenorfina (223 peserta) dan satu membandingkan metadon dengan morfin pelepasan perlahan oral (48 peserta).

Sumber tajaan kajian

Institut Nasional Penyalahgunaan Dadah membiaya dua kajian, satu kajian mendapat geran Datuk Bandar Vienna, dan bagi kajian keempat, Schering Plough memberi geran pendidikan kepada pengarang pertama untuk menggaji personel yang diperlukan untuk menjalankan kajian tersebut.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati beberapa perbezaan hasil bayi baru lahir atau hasil maternal bagi wanita hamil yang ketagihan opiate dan dikekalan metadon, buprenorfina atau morfin pelepasan lambat oral dari usia gestasi purata 23 minggu hingga lahir.

Membandingkan metadon dengan buprenorfina, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang berhenti rawatan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam penggunaan bahan primer dan bilangan bayi baru lahir yang dirawat untuk sindrom abstinen neonatal di antara kumpulan metadon dan buprenorfina. Kami sangat tidak pasti sama ada bayi baru lahir bagi ibu yang menerima buprenorfina mempunyai lebih berat lahir.

Membandingkan metadon dengan morfin pelepasan lambat oral, tiada keciciran dalam kajian tunggal yang disertakan. Penggunaan heroin di trimester ketiga mungkin lebih rendah dengan morfin pelepasan perlahan. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan berat lahir bayi atau tempoh sindrom abstinens neonatal.

Bilangan peserta dalam kajian-kajian adalah kecil dan mungkin tidak cukup untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Semua kajian yang disertakan berakhir sejurus selepas bayi lahir. Tiada komplikasi teruk dicatatkan.

Kualiti bukti

Dalam perbandingan metadon dengan buprenorfina, kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah kerana ketidakkonsistenan keputusan kajian bagi beberapa hasil, kadar keciciran peserta yang tinggi, dan saiz sampel yang kecil kajian-kajian. Dalam perbandingan metadon dengan morfin pelepasan perlahan, kualiti bukti adalah rendah kerana saiz sampel kajian yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information