Soalan ulasan: kami mengulas bukti sedia ada tentang kesan rehabilitasi pulmonari terhadap kapasiti senaman, sesak nafas dan kualiti hidup dalam kalangan orang dengan penyakit paru-paru interstitial (ILD).
Latar belakang: orang dengan ILD (keadaan di mana paru-paru menjadi berparut dan pernafasan menjadi semakin sukar) seringkali kurang kapasiti senaman dan sesak nafas semasa bersenam. Rehabilitasi pulmonari boleh memperbaik kesejahteraan orang dengan penyakit paru-paru kronik lain, tetapi terdapat kurang maklumat tentang keberkesanan rehabilitasi pulmonari dalam ILD. Kami ingin tahu sama ada rehabilitasi pulmonari memberi kelebihan berbanding tiada rehabilitasi pulmonari untuk orang dengan ILD dan sama ada ia dapat dilaksana dengan selamat. Kami juga melihat sama ada orang dengan fibrosis pulmonari idiopatik (IPF), sejenis ILD yang progres dengan cepat, boleh mendapat manfaat daripada rehabilitasi pulmonari.
Kajian yang kami temui: kami memasukkan 21 kajian melibatkan 909 orang dengan ILD. Kami menggabung dan membandingkan hasil 16 kajian (356 peserta yang menerima rehabilitasi pulmonari dan 319 peserta tidak menerima rehabiltasi pulmonari). Sembilan kajian menyertakan hanya orang dengan IPF, tiga kajian hanya menyertakan mereka dengan sarcoidosis (tompok kecil tisu merah dan bengkak dalam paru-paru), dua kajian hanya menyertakan mereka dengan ILD yang berkait dengan debu pekerjaan, dan lapan kajian lainnya menyertakan orang dengan pelbagai jenis ILD. Purata umur peserta adalah antara 36 hingga 72 tahun. Semua program rehabilitasi pulmonari terdiri daripada latihan ketahanan (melangkah, berjalan, berbasikal atau kombinasi modaliti) dan ada juga yang memasukkan penambahan senaman latihan kekuatan. Kebanyakan program rehabilitasi pulmonari berlangsung selama lapan hingga 12 minggu, dengan peserta menghadiri dua atau tiga sesi seminggu.
Keputusan utama: Sejurus selepas rehabiltasi pulmonari, peserta dapat berjalan lebih jauh berbanding mereka yang belum membuat pemulihan pulmonari (purata 40 meter lebih jauh dalam enam minit). Peserta juga dapat memperbaik kapasiti senaman maksimum mereka dan melaporkan kurang sesak nafas dan kualiti hidup lebih baik. Orang dengan IPF mengalami pembaikan yang setara dalam kapasiti senaman, sesak nafas dan kualiti hidup selepas rehabilitasi pulmonari. Enam hingga 12 bulan selepas rehabilitasi pulmonari, peserta masih boleh berjalan lebih jauh berbanding mereka yang belum membuat rehabilitasi pulmonari (purata 37 meter lebih jauh dalam enam minit) dan mereka dapat memperbaik sesak nafas dan kualiti hidup. Dalam kalangan orang dengan IPF, adalah kurang pasti sama ada pembaikan berterusan enam hingga 12 bulan selepas rehabilitasi pulmonari. Tiada kajian yang menjelaskan sebarang kesan sampingan rehabilitasi pulmonari.
Kualiti bukti: kualiti bukti secara amnya rendah hingga sederhana’ Ini disebabkan oleh pelaporan kaedah yang tidak cukup, para penilai mengetahui rawatan yang telah diberikan dan variabilitas beberapa keputusan.
Kesimpulan: pemulihan pulmonari mungkin memperbaik kapasiti senaman, simptom-simptom dan kualiti hidup, dan boleh dibuat dengan selamat dalam kalangan orang dengan ILD, termasuk mereka dengan IPF. Keputusan-keputusan ini menyokong rehabilitasi pulmonari sebagai sebahagian daripada pengurusan orang dengan ILD. Kajian masa depan harus meneroka cara untuk mempromosi pembaikan jangka panjang selepas latihan senaman, khususnya untuk mereka dengan IPF dan strategi latihan senaman yang membawa manfaat terbesar.
Ulasan ini adalah terkini sehingga Jun 2020.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.