Strategi pengawalan jangkitan meticillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) dalam kalangan orang tua di rumah penjagaan

MRSA adalah sejenis kuman yang boleh menjangkiti manusia terutamanya dalam kalangan mereka yang berada di hospital. MRSA kini menjadi satu masalah kesihatan dalam kalangan orang tua yang tinggal di rumah penjagaan. Rumah penjagaan orang tua adalah tempat yang amat sesuai untuk MRSA berjangkit kerana penghuni tinggal berhampiran antara satu sama lain. Tambahan lagai, kebanyakan mereka mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan menerima preskripsi pelbagai jenis antibiotik dan ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai luka yang disebabkan tekanan (pressure sore) dan menggunakan alat perubatan seperti saluran kencing (catheters). Semua faktor ini meningkatkan risiko mereka untuk menghidapi jangkitan MRSA, serta meningkatkan risiko kematian.

Pelbagai cara untuk mencegah penyebaran jangkitan MRSA terutamanya di hospital telah dikaji. Walaubagaimanapun,hanya satu kajian sahaja yang telah menilai keberkesanan program pendidikan dan latihan kawalan jangkitan dalam mempengaruhi pencegahan penyebaran MRSA di rumah-rumah penjagaan orang tua. Kajian ini menunjukkan tiada perbezaan antara kumpulan yang terlibat dalam program ini dengan kumpulan perbandingan yang mana mereka hanya meneruskan amalan biasa mereka.

Walaupun terdapat bukti bahawa teknik pencegahan penyebaran MRSA di hospital adalah berkesan, namun teknik ini masih tidak jelas keberkesannya di rumah-rumah penjagaan orang tua. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenalpasti cara yang terbaik dalam usaha pencegahan MRSA di rumah-rumah penjagaan orang tua.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information