Persediaan endometrium untuk penerima penderma telur atau untuk pemindahan embrio beku

Soalan ulasan

Apakah cara yang paling berkesan untuk persediaan endometrium bagi wanita yang menjalani pemindahan embrio dengan embrio beku atau embrio yang berasal dari oosit penderma?

Latar belakang

Pasangan menjalani rawatan kemandulan disebabkan faktor lelaki, faktor wanita atau kemandulan yang tidak dapat dijelaskan. Selepas kitaran pemindahan embrio segar yang tidak berjaya, pemindahan embrio beku yang dicair dapat dilakukan apabila embrio beku tersedia. Penyediaan hormon endometrium yang cukup adalah teramat penting bagi kedua-dua penderma telur dan kitaran penggantian embrio beku untuk mengoptimumkan peluang mengandung. Banyak ubat dan pelbagai cara pemberian ubat-ubatan telah dicuba oleh beberapa penyiasat untuk mengoptimumkan kadar implantasi dan meningkatkan kadar kejayaan prosedur pemindahan embrio: kitaran terangsang (untuk menghasilkan oestradiol secara endogen), kitaran terprogram (memberi oestradiol secara eksogen) atau kitaran semula jadi (membenarkan ovari menghasilkan oestradiol tanpa rangsangan) adalah beberapa jenis pilihan; mengelakkan ovulasi spontan dengan agonis dan antagonis hormon pelepasan gonadotropin (GnRH) boleh memberi kesan; atau menggunakan beberapa ubat lain seperti aspirin atau steroid yang berpotensi meningkatkan potensi penerimaan endometrium turut dinilai.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai 31 kajian rawak terkawal yang membandingkan intervensi yang berbeza seperti dos dan cara pemberian oestrogen dan progestogen, penggunaan ubat yang menghentikan ovulasi pramatang (GnRH agonis), dan penggunaan ubat-ubatan lain untuk memperbaiki endometrium dalam 5426 wanita. Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2020.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada kitaran terangsang (dengan letrozole) jika dibandingkan dengan kitaran yang diprogramkan, untuk persiapsediaan endometrium boleh meningkatkan kelahiran hidup. Bukti menunjukkan jika peluang kadar kelahiran hidup selepas kitaran yang diprogramkan diandaikan pada 24%, maka peluang selepas kitaran terangsang adalah antara 13% dan 51%. Kami juga tidak pasti kesannya terhadap kadar keguguran dan ketebalan endometrium. Kitaran terangsang dapat meningkatkan kadar kehamilan klinikal. Kekurangan data mengenai kehamilan berganda, pembatalan kitaran dan kesan sampingan yang lain.

Kami tidak pasti sama ada kitaran semula jadi boleh meningkatkan kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan, kadar keguguran dan ketebalan endometrium berbanding dengan kitaran yang diprogramkan. Data tidak mencukupi untuk semua hasil kajian yang lain.

Kami tidak pasti sama ada estrogen transdermal (diberi melalui kulit) berbanding dengan oestrogen oral (melalui mulut) meningkatkan kadar kehamilan klinikal dan kadar keguguran. Data kurang untuk semua hasil kajian yang lain.

Memulakan progestogen pada hari pengambilan oosit penderma atau sehari selepas itu mungkin dapat meningkatkan kadar kehamilan klinikal dan mungkin mengurangkan kadar pembatalan kitaran. Kami tidak pasti sama ada ini dapat mengurangkan kadar keguguran. Data tidak mencukupi untuk semua hasil kajian yang lain.

Kitaran dengan agonis GnRH berbanding dengan tiada GnRH dapat meningkatkan kadar kelahiran hidup. Kami tidak dapat mengenal pasti kesan kitaran GnRH berbanding dengan tiada GnRH untuk hasil kadar kehamilan klinikal, kadar keguguran, dan ketebalan endometrium. Tidak ada kajian yang melaporkan hasil-hasil lain untuk perbandingan ini.

Kami tidak pasti jika ada jenis agonis GnRH yang lebih baik daripada yang lain: kitaran dengan leuprolida harian atau dengan deposit triptorelin meningkatkan kadar kehamilan klinikal, atau jika leuprolida asetat (acetate leuprolide) harian atau nafarelin harian mengurangkan kadar keguguran. Hasil-hasil kajian lain tidak dilaporkan.

Antagonis GnRH berbanding dengan agonis mungkin dapat meningkatkan kadar kehamilan klinikal. Kami tidak pasti kesannya terhadap kadar keguguran dan kadar kehamilan berganda. Tidak ada kajian yang melaporkan hasil yang lain.

Kami tidak pasti sama ada kitaran dengan aspirin berbanding dengan kitaran tanpa aspirin boleh meningkatkan kelahiran hidup, kadar kehamilan klinikal atau ketebalan endometrium. Data tidak mencukupi untuk semua hasil kajian yang lain.

Kami tidak pasti sama ada kitaran dengan steroid berbanding dengan kitaran tanpa steroid boleh meningkatkan kelahiran hidup, kadar kehamilan klinikal atau kadar keguguran. Tidak ada kajian yang melaporkan hasil yang lain.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sederhana hingga sangat rendah. Batasan utama dalam bukti adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan kekurangan ketepatan dan konsistensi dalam hasil kajian untuk kelahiran hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh oleh Joo Howe Ong. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information