Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada penggunaan antibiotik pada masa pembedahan katarak dapat mencegah jangkitan bakteria pada mata (endoftalmitis) selepas pembedahan katarak. Penyelidik-penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui lima kajian.
Mesej-mesej utama
Terdapat peluang yang sangat kecil bagi endoftalmitis selepas pembedahan katarak. Antibiotik yang disuntik ke dalam mata semasa pembedahan menurunkan peluang kecil jangkitan ini (bukti berkepastian tinggi). Suntikan antibiotik dan titisan mata antibiotik yang diberikan bersama mungkin menurunkan peluang jangkitan berbanding dengan menggunakan suntikan sahaja atau titisan mata sahaja. Maklumat mengenai kesan buruk tidak disediakan dalam kebanyakan kajian.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Endoftalmitis adalah komplikasi pembedahan katarak yang jarang berlaku, tetapi berpotensi serius, yang boleh menyebabkan kebutaan. Ia disebabkan oleh bakteria yang memasuki mata semasa pembedahan atau dalam beberapa hari pertama selepas pembedahan. Ada banyak cara untuk menghentikan jangkitan semasa dan selepas pembedahan, seperti menggunakan antibiotik pada masa pembedahan. Terdapat pelbagai jenis antibiotik yang boleh digunakan, dan ia boleh digunakan dalam pelbagai cara (sama ada dengan suntikan ke dalam mata, atau infusi ke dalam darah, atau titisan mata) atau pada waktu yang berbeza (sebelum, semasa atau selepas pembedahan).
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane menemui lima kajian yang berkaitan. Dua kajian telah dilakukan di Pakistan, satu kajian di beberapa negara Eropah, satu kajian di Brazil, dan satu kajian di Turki. Semua kajian ini melihat kepada rawatan yang berbeza: satu kajian membandingkan empat rawatan yang berbeza - suntikan antibiotik yang digabungkan dengan titisan mata antibiotik berbanding suntikan antibiotik sahaja berbanding titisan mata antibiotik sahaja berbanding titisan mata plasebo; satu kajian membandingkan gabungan suntikan antibiotik dan titisan mata antibiotik berbanding titisan mata antibiotik sahaja; satu kajian membandingkan gabungan antibiotik dan steroid berbanding antibiotik dan steroid yang diberikan secara berasingan; satu kajian membandingkan dua lokasi berbeza untuk suntikan mata antibiotik; satu kajian membandingkan penambahan antibiotik ke cecair steril yang digunakan semasa pembedahan berbanding tidak menambahkan antibiotik ke cecair ini.
Ulasan ini menunjukkan:
• Suntikan antibiotik dalam mata (cefuroxime) pada hujung pembedahan mengurangkan peluang endofthalmitis selepas pembedahan (bukti berkepastian tinggi).
• Menggunakan titisan mata antibiotik (sama ada levofloxacin atau chloramphenicol) sebagai tambahan kepada suntikan antibiotik (sama ada cefuroxime atau penisilin) mungkin menurunkan peluang endoftalmitis berbanding dengan menggunakan suntikan atau titisan mata sahaja (bukti berkepastian sederhana).
• Adalah tidak dapat dipatikan sama ada menambahkan antibiotik ke cecair pengairan steril yang digunakan semasa pembedahan katarak menurunkan peluang endoftalmitis (bukti berkepastian yang sangat rendah).
• Adalah tidak dapat dipastikan jika menggunakan antibiotik dan steroid secara individu atau dalam gabungan membuat perbezaan pada peluang mendapat endoftalmitis (bukti berkepastian yang sangat rendah).
Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?
Penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Disember 2016.
Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my