Tujuan ulasan
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai bukti mengenai kesan pembedahan untuk membuang lensa dari mata di mana katarak (lensa di depan mata menjadi kabur) terbentuk selepas vitrektomi. Pembedahan vitrektomi diguna untuk membuang vitreus (gel) di bahagian tengah mata semasa pembaikan atau pemulihan beberapa gangguan retina (seperti penanggalan retina dan lubang makula atau dalam kes pendarahan vitreus).
Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Vitrektomi boleh mengakibatkan pembentukan atau percepatan katarak. Masalah dasar yang membawa kepada vitrektomi boleh mempengaruhi ketajaman penglihatan, kualiti hidup, dan hasil lain selepas pembedahan untuk mengeluarkan lensa katarak.
Keputusan utama
Kami tidak mendapati kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta secara rawak diperuntukan kepada satu kumpulan rawatan atau yang lain) yang menilai manfaat atau risiko (atau kedua-dua) pembedahan katarak berikutan vitrektomi. Oleh kerana pembedahan katarak boleh mengakibatkan hilang penglihatan akibat keadaan menjadi lebih buruk atau keadaan berulang yang menyebabkan vitrektomi, peranannya dalam pesakit-pesakit ini tidak diketahui. Kajian masa depan untuk menangani soalan ulasan ini harus memisahkan peserta mengikut umur, gangguan yang membawa kepada vitrektomi, dan status dasar proses penyakit di mata yang sebelah lagi. Hasil yang berkaitan dengan pesakit seperti pembaikan ketajaman penglihatan, ukuran penglihatan lain, dan kualiti hidup yang sering dijangka dari pembedahan katarak, dan bahaya harus diperiksa untuk jangka pendek (enam bulan selepas pembedahan katarak) dan jangka panjang (satu hingga dua tahun selepas pembedahan katarak).
Mesej utama
Terdapat jurang bukti sama ada pembedahan untuk membuang katarak dalam kalangan orang dengan katarak selepas vitrektomi adalah lebih baik daripada tiada pembedahan.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Mei 2017.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.