Pembedahan anduh pertengahan uretra untuk inkontinens urinari tekanan pada wanita

Maklumat latar belakang

Inkontinens urinari tekanan (kebocoran air kencing secara tidak sengaja akibat mengerah tenaga; atau ketika bersin, batuk atau ketawa) adalah jenis inkontinens yang paling biasa pada wanita dan ini boleh menjejaskan kualiti hidup mereka. Wanita dengan inkontinens urinari tekanan juga boleh mengalami masalah dengan hubungan seksual, kerana kebocoran air kencing boleh berlaku. Sejumlah besar pendapatan wanita dan keluarganya perlu dibelanjakan untuk menangani gejala ini. Satu daripada tiga wanita berusia lebih 18 tahun akan terjejas oleh inkontinens urinari tekanan pada satu ketika hayat mereka.

Selama bertahun-tahun, pembedahan untuk menghentikan masalah ini menjadi kurang invasif. Pembedahan anduh pertengahan uretra adalah salah satu daripada pelbagai jenis pembedahan yang ada. Pembedahan ini adalah sesuai untuk wanita yang menjalani pembedahan pertama mereka serta wanita yang tidak berjaya dalam pembedahan sebelumnya. Dalam pembedahan anduh pertengahan uretra, pita diletakkan di bawah uretra, iaitu tiub yang membawa air kencing keluar dari pundi kencing. Apabila seseorang wanita batuk, pita tersebut akan menekan tiub itu, lalu memberikan sokongan yang diperlukan untuk mengelakkan kebocoran air kencing.

Terdapat dua cara utama untuk menjalankan pembedahan ini, sama ada dengan memasukkan pita di belakang tulang kemaluan melalui abdomen ('retropubis'), atau melalui pangkal paha ('transobturator').

Apa yang cuba dikaji ulasan ini

Kami melihat akan kesan dan kos pembedahan anduh pertengahan uretra yang menggunakan dua kaedah berbeza. Kami juga membandingkan kaedah yang berbeza untuk memasukkan pita, dan membandingkan pita yang diperbuat daripada bahan yang berbeza. Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sejauh manakah keberkesanan pembedahan ini dalam merawat inkontinens urinari tekanan dan membantu menentukan kadar komplikasi yang mungkin.

Penemuan utama ulasan ini

Kami menjalankan pencarian penulisan yang menyeluruh sehingga Jun 2014. Kami mengenal pasti 81 kajian yang melibatkan sejumlah 12,113 wanita. Kajian ini menunjukkan bahawa lebih 80% wanita yang mengalami inkontinens urinari tekanan sembuh, atau mengalami penambahbaikan yang ketara dalam gejala mereka, dengan salah satu jenis pembedahan, sehingga lima tahun selepas pembedahan, tanpa mengira jenis pita yang digunakan dan bagaimana pita dimasukkan. Kajian menggunakan soal selidik yang berbeza untuk menilai kualiti hidup, yang bermakna kami tidak dapat menggabungkan keputusan mereka. Walau bagaimanapun, maklumat yang diperoleh untuk kualiti hidup menunjukkan bahawa ia bertambah baik hasil daripada pembedahan ini, walaupun tiada perbezaan yang jelas antara kedua-dua prosedur. Dari segi kos, ulasan tidak sistematik kajian ekonomi telah menyarankan bahawa kaedah transobturator mempunyai kos yang lebih rendah berbanding kaedah retropubis. Hanya beberapa kajian yang memberikan maklumat tentang keberkesanan pita ini lebih daripada lima tahun selepas pembedahan. Bukti yang dapat kami nilai menunjukkan bahawa kesan positif adalah berterusan.

Kesan buruk

Pita yang melalui bahagian belakang tulang kemaluan (retropubis) nampaknya membawa risiko yang lebih besar untuk mencederakan pundi kencing semasa pembedahan dan mengakibatkan wanita mengalami masalah untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, pembedahan ini menyebabkan kurang kesakitan di pangkal paha untuk jangka masa pendek. Terdapat beberapa bukti terhad bahawa cara memasukkan pita sebegini mempunyai risiko yang lebih rendah untuk pembedahan perlu diulang dalam jangka masa panjang berbanding dengan pita yang melalui pangkal paha (transobturator). Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa keseluruhan kadar komplikasi berkaitan pita yang dilaporkan adalah rendah, seperti hakisan pita ke dalam faraj adalah kira-kira 2% bagi kedua-dua kaedah kemasukan pita. Masalah dengan hubungan seksual yang dilaporkan termasuklah kesakitan adalah rendah, dan kebocoran air kencing semasa persetubuhan bertambah baik selepas pita dimasukkan.

Batasan ulasan ini

Kebanyakan keputusan kami adalah berdasarkan bukti yang berkualiti sederhana. Kebanyakan kajian tidak menerangkan kaedah mereka dengan jelas, sekali gus menyebabkan ketidakpastian dalam penemuan. Pada masa ini bilangan kajian rawak terkawal rawak (ini menghasilkan keputusan yang paling dipercayai) yang telah menerbitkan data lebih daripada lima tahun selepas pembedahan adalah terhad. Ini bermakna bahawa bukti tentang keberkesanan dan keselamatan prosedur ini dalam jangka masa panjang adalah ketinggalan berbanding bukti tentangnya buat jangka masa pendek dan sederhana (sehingga lima tahun). Data jangka masa panjang adalah diperlukan untuk membantu meningkatkan kepercayaan tentang keputusan jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information