Pyronaridine-artesunate untuk merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit

Apakah tujuan utama ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat antimalaria pyronaridine-artesunate berkesan dan selamat dalam merawat kes tidak rumit bagi jenis malaria yang penting ( Plasmodium falciparum). Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan menemui 10 kajian.

Mesej utama

Pyronaridine-artesunate berkesan dalam merawat malaria P falciparum yang tidak rumit. Pyronaridine-artesunate secara umumnya selamat, tetapi sebilangan orang yang menerimanya mempunyai ujian darah yang menunjukkan kerosakan hati. Ini nampaknya tidak tahan lama dan tidak menyebabkan orang sakit.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar malaria dirawat dengan kombinasi ubat-ubatan yang disebut terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACT). Pyronaridine-artesunate adalah ACT baru. ACT baru diperlukan untuk merawat malaria yang menjadi rintang terhadap ACT yang ada sekarang, dan untuk membantu mencegah malaria daripada menjadi lebih rintang terhadap rawatan.

Kami membandingkan pyronaridine-artesunate dengan ACT lain untuk menilai keberkesanannya terhadap malaria P falciparum , dan membandingkan pyronaridine-artesunate dan pyronaridine sahaja dengan ubat lain untuk menilai keselamatannya.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami menyertakan lima kajian dalam analisis keberkesanan rawatan kami. Empat kajian membandingkan pyronaridine-artesunate dengan artemether-lumefantrine pada orang dewasa dan kanak-kanak dari semua peringkat umur di Afrika dan Asia. Satu kajian membandingkan pyronaridine-artesunate dengan artesunate-amodiaquine pada orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua di Afrika, dan satu kajian membandingkan pyronaridine-artesunate dengan mefloquine ditambah artesunat pada orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua di Afrika dan Asia. Kami menyertakan lima lagi kajian dalam analisis keselamatan dadah kami.

Pyronaridine-artesunate berkesan menangani malaria P falciparum yang tidak rumit, dan mungkin sekurang-kurangnya sebaik atau lebih baik daripada ACT yang ada (bukti kepastian rendah hingga sederhana). Pyronaridine-artesunate meningkatkan risiko menjalani ujian darah yang menunjukkan kecederaan hati ringan (bukti kepastian sederhana hingga tinggi). Kami tidak menemui bukti bahawa kecederaan hati seperti itu teruk atau tidak dapat dipulihkan. Kami tidak tahu cara pyronaridine-artesunate mempengaruhi orang yang sudah mengalami kerosakan hati.

Kami menemui dua kajian yang merekrut kanak-kanak di bawah umur 12 tahun secara eksklusif, dengan jumlah peserta 732. Apabila hanya memasukkan data daripada ujian ini, kami tidak menemui perbezaan dalam keberkesanan atau keselamatan rawatan antara pyronaridine-artesunate dan artemether-lumefantrine.

Kami mengenal pasti tujuh lagi kajian yang menyediakan data pemerhatian tentang keselamatan pyronaridine. Data daripada kajian ini membolehkan kami meningkatkan populasi di mana keselamatan dinilai. Data pemerhatian tidak mencadangkan lebihan kesan buruk yang penting.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami telah mencari kajian yang mempunyai penerbitan sehingga 27 Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information