Latar belakang
Sekatan saraf diguna untuk mengebaskan seluruh atau sebahagian tangan atau kaki (sekatan periferal) untuk pembedahan, atau melegakan sakit selepas pembedahan, atau kedua-duanya. Dengan penggunaan ultrasound, pakar bius boleh ‘melihat’ struktur-struktur penting di bawah kulit, membolehkan mereka meletakkan suntikan anestetik lokal dengan tepat dan mengelakkan kerosakan tisu-tisu lain atau organ. Kami berhasrat untuk menilai sama ada ultrasound mempunyai sebarang kelebihan berbanding teknik mengesan saraf yang lain untuk sekatan saraf tangan atau kaki dalam kalangan dewasa.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga 27 Ogos 2014. Kami menemui 32 kajian dengan 2844 peserta. Kebanyakan kajian membandingkan ultrasound dengan perangsang saraf elektrik atau membandingkan gabungan ultrasound dengan perangsang saraf dengan hanya perangsang saraf. Kami menjalankan carian semula pada Mei 2015. Kami akan menilai 11 kajian tersebut apabila mengemaskini ulasan seterusnya.
Keputusan utama
Kami menggabungkan keputusan kajian menggunakan ujian statistik dan mendapati sekatan saraf adalah lebih cenderung untuk dinilai sebagai memadai untuk pembedahan dan kurang cenderung memerlukan anestetik tambahan apabila dijalankan menggunakan panduan ultrasound atau gabungan panduan ultrasound dengan teknik lain. Kami juga mendapati kurang komplikasi seperti kesemutan atau tusukan salur darah secara tidak sengaja. Masa yang lebih pendek diambil untuk membuat sekatan saraf apabila hanya ultrasound digunakan.
Kualiti bukti
Terdapat variasi bagi kualiti kajian-kajian dan para penulis kajian tidak berusaha sepenuhnya untuk memastikan penilai hasil tidak mengetahui teknik apa yang telah digunakan untuk sekatan saraf. Kajian-kajian tersebut juga sering tidak menjelaskan pengalaman orang yang memberi sekatan saraf. Ini adalah sangat penting kerana ultrasound adalah teknik yang agak baharu dan sesetengah pakar bius mungkin mempunyai pengalaman yang terhad. Kami menilai bukti sama ada sekatan saraf adalah memadai dan mencukupi untuk pembedahan sebagai berkualiti sederhana, tetapi bukti bagi hasil lain adalah rendah atau sangat rendah.
Kesimpulan
Bukti kami mencadangkan ultrasound lebih unggul daripada teknik-teknik lain untuk sekatan saraf periferal. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menyatakan sama ada keputusan ini bergantung kepada pengalaman pengamal teknik yang digunakan.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my