Latar belakang
Kateter vena pusat (central venous catheter, CVC) ialah tiub yang dimasukkan ke dalam vena besar untuk memberi cecair atau ubat. Pemasukan CVC meningkatkan risiko pembekuan darah pada orang dengan kanser. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan agen penipisan darah (antikoagulan) pada orang dengan kanser dan CVC.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian saintifik yang mengkaji antikoagulan di kalangan orang dengan kanser dan CVC. Bukti adalah terkini sehingga 14 Mei 2018.
Keputusan utama
Kami menyertakan 13 kajian yang melibatkan 3420 orang dengan kanser dan CVC. Kebanyakan kajian melibatkan orang dengan pelbagai jenis dan peringkat kanser. Tujuh kajian membandingkan suntikan penipisan darah dengan tanpa antikoagulasi, enam kajian membandingkan pil penipisan darah dengan tanpa antikoagulasi, dan tiga kajian membandingkan suntikan penipisan darah dengan pil penipisan darah. Apabila mempertimbangkan orang dengan kanser dan CVC, suntikan penipisan darah mungkin mengurangkan risiko pembekuan darah berkaitan dengan CVC berbanding tanpa antikoagulasi dan mungkin meningkatkan risiko trombositopenia (paras platelet yang rendah dalam darah, menyebabkan pendarahan ke dalam tisu) berbanding pil penipisan darah.
Kepastian bukti
Apabila membandingkan suntikan penipisan darah dengan tanpa antikoagulasi, kami menilai kepastian bukti sebagai sederhana untuk pembekuan darah di tempat kateter, rendah untuk kematian, jangkitan pada tempat kateter dan pendarahan kecil, serta sangat rendah untuk pendarahan besar.
Apabila membandingkan pil penipisan darah dengan tanpa antikoagulasi, kami menilai kepastian bukti sebagai rendah untuk kematian utama dan pendarahan kecil, rendah untuk pengeluaran kateter pramatang dan jangkitan berkaitan kateter, serta sangat rendah untuk bekuan darah pada tempat kateter.
Apabila membandingkan suntikan penipisan darah dengan pil penipisan darah, kami menilai kepastian bukti sebagai rendah untuk kematian dan pembekuan darah pada anggota badan serta sangat rendah untuk bekuan darah pada tempat kateter, pendarahan besar dan kecil.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau) dan disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my