Prebiotik untuk mencegah penyakit alahan dan alahan terhadap makanan dalam bayi

Terdapat beberapa bukti bahawa prebiotik yang ditambah kepada formula bayi boleh mencegah ekzema dan asma dalam bayi. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kebolehpercayaan bukti kerana tidak semua ujian melaporkan keputusan alahan dan ujian tidak melaporkan keputusan untuk semua bayi. Reaksi kepada makanan dan alahan (termasuk asma, ekzema dan demam yang diakibatkan oleh debuan) adalah biasa dan semakin meningkat. Banyak bayi menjadi sensitif kepada makanan, termasuk formula bayi, melalui saluran gastrousus mereka, satu proses yang mungkin terjejas oleh komposisi bakteria usus. Percubaan untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria gastrousus yang normal dan mencegah pemekaan kepada makanan telah melibatkan penambahan prebiotik dalam formula bayi. Prebiotik adalah komponen makanan yang tidak boleh dihadam yang membantu merangsang pertumbuhan atau aktiviti bakteria 'sihat' di dalam kolon secara terpilih. Ulasan ini mendapati terdapat beberapa bukti bahawa penambahan prebiotik kepada suapan bayi boleh mencegah ekzema dalam bayi sehingga dua tahun. Adalah tidak jelas sama ada penggunaan prebiotik harus dihadkan kepada bayi yang berisiko tinggi untuk mempunyai alahan atau mungkin mempunyai kesan dalam populasi berisiko rendah, atau sama ada ia mungkin mempunyai kesan ke atas penyakit alahan lain termasuk asma. Walau bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan sebelum penggunaan prebiotik secara rutin boleh disyorkan untuk pencegahan alahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information