Program senaman untuk penghidap demensia

Latar belakang

Pada masa hadapan, apabila populasi semakin berusia, bilangan orang dalam komuniti kita yang mengalami demensia akan meningkat secara mendadak. Ini bukan sahaja akan menjejaskan kualiti hidup orang yang mengalami demensia tetapi juga meningkatkan beban kepada penjaga keluarga, penjagaan komuniti, dan perkhidmatan penjagaan warga tua. Senaman adalah salah satu faktor gaya hidup yang telah dikenal pasti sebagai cara yang berpotensi untuk mengurangkan atau melambatkan perkembangan gejala demensia.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menilai keputusan daripada 17 kajian (tarikh carian Ogos 2012 dan Oktober 2013), yang menyertakan 1,067 peserta, yang menguji sama ada program senaman boleh meningkatkan kognitif (yang merangkumi perkara seperti ingatan, keupayaan penaakulan dan kesedaran spatial), aktiviti kehidupan seharian, tingkah laku dan gejala psikologi (seperti kemurungan, kebimbangan dan kegelisahan) pada orang tua yang menghidap demensia. Kami juga mencari kesan pada kematian, kualiti hidup, pengalaman penjaga dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan untuk sebarang kesan buruk senaman.

Penemuan utama

Terdapat beberapa bukti bahawa program senaman boleh meningkatkan keupayaan penghidap demensia untuk melakukan aktiviti harian, tetapi terdapat banyak variasi antara keputusan kajian yang tidak dapat dijelaskan. Kajian menunjukkan tiada bukti tentang manfaat daripada senaman pada kognitif, gejala psikologi, dan kemurungan. Terdapat sedikit atau tiada bukti mengenai hasil lain yang disenaraikan di atas. Tiada bukti bahawa senaman memudaratkan peserta. Kami menilai kualiti keseluruhan bukti di sebalik kebanyakan hasil kajian adalah sangat rendah.

Kesimpulan

Penambahan kajian yang direka bentuk dengan baik akan membolehkan kami meningkatkan kualiti ulasan dengan menilai jenis program senaman terbaik untuk orang dengan jenis dan tahap demensia yang berbeza dan dengan mengambil kira semua hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information