Mengunyah gula-gula getah selepas pembedahan untuk membantu pemulihan sistem penghadaman

Latar belakang

Apabila orang menjalani pembedahan pada perut mereka, sistem pencernaan boleh berhenti bekerja selama beberapa hari. Ini dipanggil ileus, dan boleh menyakitkan dan tidak selesa. Terdapat pelbagai punca ileus, dan beberapa cara untuk merawat atau mencegahnya. Satu cara yang mungkin untuk mencegah ileus adalah dengan mengunyah gula-gula getah. Ideanya ialah mengunyah gula-gula getah menipu badan untuk berfikir bahawa ia sedang makan, menyebabkan sistem pencernaan mula berfungsi semula. Adalah penting untuk melakukan ulasan ini kerana ileus adalah perkara biasa: dianggarkan sehingga satu pertiga orang yang menjalani pembedahan usus mengalami ileus.

Penemuan utama

Ulasan ini mendapati 81 kajian berkaitan yang merekrut lebih 9000 peserta secara keseluruhan. Kajian terutamanya tertumpu kepada orang yang menjalani pembedahan usus atau pembedahan caesarean, tetapi terdapat beberapa kajian mengenai jenis pembedahan lain. Terdapat sedikit kajian terhadap kanak-kanak. Kebanyakan kajian adalah berkualiti rendah, yang mungkin bermakna keputusan mereka kurang dipercayai. Kami menemui beberapa bukti bahawa orang yang mengunyah gula-gula getah selepas pembedahan dapat membuang angin dan membuang air besar lebih awal daripada orang yang tidak mengunyah gula-gula getah. Kami juga menemui beberapa bukti bahawa orang yang mengunyah gula-gula getah selepas pembedahan mempunyai bunyi usus (bunyi berdeguk yang didengar menggunakan stetoskop yang dipegang pada perut) lebih awal sedikit daripada orang yang tidak mengunyah gula-gula getah. Terdapat sedikit perbezaan dalam tempoh orang tinggal di hospital antara orang yang mengunyah atau tidak mengunyah gula-gula getah. Tiada perbezaan dalam komplikasi (seperti jangkitan atau kematian) antara orang yang mengunyah atau tidak mengunyah gula-gula getah. Juga tidak terdapat perbezaan dalam keseluruhan kos rawatan antara orang yang mengunyah atau tidak mengunyah gula-gula getah.

Kesimpulan

Terdapat beberapa bukti bahawa mengunyah gula-gula getah selepas pembedahan boleh membantu sistem pencernaan untuk pulih. Walau bagaimanapun, kajian yang disertakan dalam ulasan ini secara amnya rendah, yang bermakna keputusan mereka mungkin tidak boleh dipercayai. Kami juga tahu bahawa terdapat banyak faktor yang mempengaruhi ileus, dan rancangan rawatan moden cuba mengurangkan risiko ileus. Oleh itu untuk meneroka lebih lanjut menggunakan gula-gula getah selepas pembedahan, lebih banyak kajian diperlukan yang lebih besar, berkualiti lebih baik, termasuk jenis pembedahan yang berbeza, dan mempertimbangkan perubahan terkini dalam sistem penjagaan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (masykurin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information