Adakah dialisis peritoneal automatik lebih baik daripada dialisis peritoneal ambulatori berterusan untuk orang dengan kegagalan buah pinggang?

Mesej-mesej utama

Orang dengan kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang seseorang tidak lagi berfungsi dengan baik untuk memastikan kehidupan) memerlukan beberapa bentuk terapi penggantian buah pinggang untuk mengekalkan kehidupan. Dialisis bertujuan untuk meniru fungsi buah pinggang asli dengan membuang zat terlarut, toksin, dan cecair berlebihan. Sejenis dialisis, iaitu dialisis peritoneal, menggunakan lapisan abdomen untuk mengeluarkan sisa produk dari darah dengan menggunakan larutan yang ditambahkan ke abdomen untuk menyerap sebarang sisa dan cecair berlebihan. Kami membandingkan dialisis peritoneal automatik (penghantaran penyelesaian automatik oleh mesin) dengan dialisis peritoneal ambulatori berterusan (penghantaran cecair secara manual).

• Kami sangat tidak pasti tentang manfaat atau mudarat dialisis peritoneal automatik berbanding dengan dialisis peritoneal ambulatori berterusan dalam kalangan orang dengan kegagalan buah pinggang. Kami hanya menemui dua kajian dengan 131 pesakit.

• Kajian lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk menentukan potensi manfaat dialisis peritoneal automatik berbanding dialisis peritoneal ambulatori berterusan. Penyelidikan masa depan harus fokus kepada hasil pesakit yang penting, seperti kualiti hidup dan kemampuan mereka menjalani kehidupan seharian biasa seperti kerja, belajar, dan berekreasi dan bersosial.

Apakah itu dialisis peritoneal?

Kegagalan buah pinggang adalah keadaan di mana buah pinggang seseorang tidak lagi berfungsi dengan baik untuk memastikan kehidupan. Terapi penggantian buah pinggang, dalam bentuk dialisis atau pemindahan, diperlukan untuk mengekalkan kehidupan. Dialisis bertujuan mengeluarkan zat terlarut, toksin dan cecair daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, ia cuba meniru dan mengganti fungsi asli buah pinggang. Dialisis peritoneal adalah sejenis dialisis yang menggunakan lapisan abdomen - dipanggil membran peritoneal - untuk mengeluarkan sisa produk dari darah. Ia biasanya dilakukan di rumah dan bahkan boleh dilakukan semasa tidur. Semasa dialisis peritoneal, cecair yang dipanggil larutan dialisis masuk ke dalam abdomen melalui tiub yang dikenali kateter, yang dimasukkan secara pembedahan. Setelah cecair dialisis mengalir ke abdomen, ia kekal di situ selama antara satu hingga enam jam, membersihkan darah dengan menyerap sebarang sisa dan cecair berlebihan. Larutan dialisis yang mengandungi sisa dan cecair berlebihan kemudian disalir keluar dari abdomen melalui kateter. Cecair dialisis ini boleh dihantar secara automatik oleh mesin (dialisis peritoneal automatik) atau secara manual menggunakan graviti untuk mengisi dan mengosongkan abdomen (dialisis peritoneal ambulatori berterusan).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada dialisis peritoneal automatik lebih baik daripada dialisis peritoneal ambulatori berterusan dari segi bilangan kematian, hospitalisasi, jangkitan, keperluan untuk menukar kepada bentuk dialisis lain, penyingkiran kateter, terlalu banyak air dalam badan, tekanan darah, komplikasi seperti kebocoran cecair dari kateter, fungsi residual buah pinggangl (keupayaan residual buah pinggang untuk mengeluarkan air dan toksin) dan kualiti hidup.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan dialisis peritoneal automatik dengan dialisis peritoneal ambulatori berterusan dalam kalangan orang dengan kegagalan buah pinggang. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati dua kajian (diterbitkan pada tahun 1994 dan 1999) menyertakan sejumlah 131 orang dengan kegagalan buah pinggang. Kajian terbesar menyertakan 97 orang dan kajian terkecil menyertakan 34 orang. Kajian-kajian dijalankan di Denmark dan Belanda. Satu kajian berlangsung selama enam bulan, dan satu kajian berlangsung selama 24 bulan.

Berdasarkan penyelidikan sedia ada, kami tidak pasti sama ada dialisis peritoneal automatik menawarkan kelebihan berbanding dialisis peritoneal ambulatori berterusan untuk hasil yang diminati.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah, dan keputusan kajian lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Bilangan kajian yang kecil, bilangan kecil orang yang disertakan, dan tempoh kajian yang singkat adalah batasan utama.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information