Fraktur proses kondil mandibular (rahang bawah) adalah lazim. Terdapat dua pilihan rawatan: sama ada rawatan tertutup (tanpa surgeri) atau reduksi terbuka (melibatkan surgeri). Kedua-dua modaliti rawatan dikaitkan dengan beberapa komplikasi. Dengan pendekatan tertutup komplikasi termasuklah gangguan pertemuan gigi, fasial tak simetri, sakit kronik dan kurang mobiliti rahang bawah. Dengan pendekatan terbuka, komplikasi termasuklah parut pada kulit dan kemungkinan kelumpuhan sementara saraf yang membekal beberapa otot muka yang mempengaruhi senyuman dan membuka/menutup mata. Terkini terdapat banyak kontroversi mengenai kaedah yang paling sesuai untuk mengurus fraktur kondil mandibular. Ulasan ini menunjukkan kekurangan bukti berkualiti untuk keberkesanan kedua-dua pendekatan, oleh itu penyelidikan lanjut perlu untuk membantu klinisian dan pesakit membuat pilihan termaklum tentang opsyen rawatan.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my