Memperbaiki hasil bagi pesakit dengan pelbagai keadaan kronik

Latar belakang

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan keadaan kronik sebagai "masalah kesihatan yang memerlukan pengurusan yang berterusan sepanjang beberapa tahun atau dekad". Ramai orang yang mempunyai masalah atau keadaan kesihatan kronik, mempunyai lebih daripada satu masalah kesihatan kronik, yang disebut sebagai pelbagai morbiditi. Biasanya ini bermakna bahawa mereka boleh mengidap pelbagai kombinasi keadaan kesihatan tetapi dalam beberapa kajian kombinasi keadaan adalah ditetapkan lebih awal untuk menyasarkan kombinasi biasa seperti diabetes dan penyakit jantung. Kami merujuk kepada jenis kajian ini sebagai kajian komorbiditi. Sedikit yang diketahui tentang berkesanan intervensi untuk memperbaiki hasil bagi orang dengan perbagai morbiditi. Ini adalah kemas kini bagi ulasan yang telah diterbitkan sebelumnya.

Soalan ulasan

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan merumuskan bukti yang sedia ada mengenai keberkesanan intervensi untuk memperbaiki hasil klinikal dan kesihatan mental serta hasil yang dilaporkan oleh pesakit termasuk kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan bagi orang dengan pelbagai morbiditi dalam penjagaan primer dan persekitaran komuniti.

Keterangan tentang ciri-ciri kajian

Kami telah menjalankan pencarian daripada penulisan sehingga September 2015 dan mengenal pasti 17 kajian rawak yang direka dengan baik yang memenuhi kriteria kelayakan. Sembilan daripada kajian-kajian ini memfokuskan kombinasi keadaan kesihatan tertentu (kajian komorbiditi), contohnya diabetes dan penyakit jantung. Lapan kajian lain memasukkan orang dengan pelbagai keadaan (kajian pelbagai morbiditi) walaupun mereka cenderung untuk memfokuskan orang tua. Majoriti kajian memeriksa intervensi yang melibatkan perubahan kepada organisasi yang memberi penjagaan namun beberapa kajian mempunyai lebih banyak intervensi yang berfokuskan pesakit. Semua kajian mempunyai sumber dana dari kerajaan atau badan amal.

Keputusan utama

Keseluruhannya, keputusan mengenai keberkesanan intervensi adalah bercampur-campur. Tiada sebarang peningkatan positif yang jelas dalam hasil klinikal, penggunaan perkhidmatan kesihatan, pematuhan ubatan, tingkah laku kesihatan berkaitan pesakit, tingkah laku profesional kesihatan atau kos. Terdapat peningkatan sederhana dalam hasil kesihatan mental dari tujuh kajian yang menyasarkan orang yang mengalami kemurungan. Keputusan menunjukkan bahawa intervensi mungkin dapat meningkatkan hasil fungsi dalam kajian yang melaporkan hasil ini. Keseluruhannya, keputusan menunjukkan bahawa ia adalah sukar bagi memperbaiki hasil untuk orang dengan pelbagai keadaan kronik. Ulasan ini mencadangkan bahawa intervensi yang direka untuk sasaran faktor risiko tertentu (contohnya rawatan untuk kemurungan) mungkin lebih berkesan. Terdapat keperluan untuk kajian lebih lanjut mengenai topik ini, terutamanya yang melibatkan orang dengan pelbagai morbiditi secara umum merentasi pelbagai umur.

Kualiti/kepastian bukti

Kesemua kajian yang dimasukkan adalah kajian rawak terkawal. Kualiti keseluruhan kajian ini adalah baik walaupun banyak kajian tidak melaporkan sepenuhnya tentang semua sumber bias yang berpotensi. Seperti definisi pelbagai morbiditi yang berbeza-beza antara kajian, potensi yang munasabah untuk menggabungkan keputusan kajian dan membuat rumusan keseluruhan adalah terhad. Keseluruhannya, kami menilai bahawa kepastian dan keyakinan kami terhadap keputusan ulasan ini adalah sederhana tetapi disebabkan oleh bilangan kajian yang sedikit dan keputusan bercampur, kami mengakui ketidakkepastian masih wujud dan kemungkinan kajian masa depan boleh mengubah rumusan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information