Pil perancang kehamilan yang mengandungi drospirenone untuk merawat sindrom prahaid

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada pil perancang kehamilan yang mengandungi drospirenone dan estrogen berkesan dalam memperbaiki gejala sindrom prahaid (PMS) dalam kalangan wanita dengan PMS, berbanding dengan sama ada pil plasebo (dummy) atau pil perancang kehamilan yang lain. Kami juga ingin mengetahui kesan sampingan yang mungkin dialami oleh wanita. 

Latar belakang

PMS adalah masalah biasa. Keadaan yang teruk dipanggil gangguan disforia prahaid (PMDD). Gejalanya termasuklah perubahan tingkah laku, dan tanda-tanda fizikal serta gejala lain yang menjejaskan kehidupan seharian. Pil pencegahan kehamilan yang mengandungi hormon progestin dan estrogen dalam merawat gejala ini telah dikaji. Pil pencegahan kehamilan yang mengandungi drospirenone digabungkan dengan estrogen dos rendah telah diluluskan di AS untuk merawat PMDD.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui lima kajian dengan 858 wanita. Kesemua kajian membandingkan pil dummy dengan pil drospirenone dengan estrogen yang rendah. Majoriti wanita mempunyai PMDD, iaitu keadaan PMS yang teruk, sebelum kajian. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Keputusan utama

Selepas tiga bulan, wanita yang mengambil pil drospirenone dengan estrogen yang rendah mengalami gejala prahaid yang kurang teruk berbanding yang mengambil pil dummy. Wanita yang mengambil pil drospirenone dengan estrogen yang rendah berkata mereka boleh melakukan lebih banyak, dan mempunyai lebih banyak aktiviti sosial dan rakan. Namun, wanita yang mengambil pil drospirenone dengan estrogen yang rendah juga berkemungkinan untuk menarik diri daripada kajian kerana kesan sampingan. Mereka melaporkan lebih banyak kesan sampingan secara keseluruhan; khususnya, loya, pendarahan antara haid, sakit pada payudara, yang merupakan kesan sampingan biasa dengan pil perancang kehamilan. Kami tidak tahu sama ada pil drospirenone dengan estrogen yang rendah berkesan lebih dari tiga kitaran, membantu wanita dengan gejala yang kurang teruk, atau lebih baik dari pil perancang kehamilan yang lain.

Manfaat dari pil drospirenone dengan estrogen yang rendah dalam gejala prahaid ini adalah kecil hingga sederhana, walaupun terdapat manfaat yang ketara dari pil dummy juga. Bukti menunjukkan bahawa jika peluang untuk menarik diri daripada kajian disebabkan kesan sampingan semasa mengambil pil dummy diandaikan dalam 3%, maka peluang bagi pil drospirenone dengan estrogen yang rendah adalah antara 6% dan 16%. Kajian ini juga mencadangkan bahawa jika risiko mengalami kesan sampingan daripada pil dummy diandaikan dalam 28%, risiko daripada pengambilan pil drospirenone dengan estrogen yang rendah diandaikan dalam 40% dan 54%.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah hingga sederhana. Batasan utama bukti adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah, dan kurang ketepatan serta konsistensi dalam penemuan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gerraint Gillan Ahi (Universiti Malaysia Sarawak). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information