Bahan yang digunakan untuk mengembangkan rongga rahim semasa histeroskopi di tetapan pesakit luar

Soalan ulasan

Pengarang Cochrane ingin menentukan bahan manakah yang terbaik untuk mengembangkan rongga rahim semasa histeroskopi pesakit luar. Kami menyemak bahan manakah yang lebih diterima oleh pesakit, mempunyai kurang kesan sampingan, lebih memuaskan pengendali, dan dikaitkan dengan tempoh prosedur yang lebih pendek.

Latar belakang

Rahim adalah organ yang berongga. Histeroskop ialah alat yang dimasukkan ke dalam rahim untuk melihat bahagian dalam rongga. Jika ingin dilihat, rongga tersebut perlu diisi dengan bahan jernih (media distensi). Bahan ini mungkin cecair (larutan garam) atau gas (karbon dioksida). Memanaskan cecair tersebut kepada suhu badan adalah dicadangkan untuk meningkatkan penerimaan pesakit. Setiap bahan mempunyai manfaat dan kesan sampingan, yang telah kami bandingkan di sini.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 12 kajian rawak terkawal yang membandingkan media distensi dalam sejumlah 1946 wanita yang menjalani histeroskopi pesakit luar. Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Keputusan utama

Kesakitan semasa prosedur mungkin sama dengan larutan garam dan karbon dioksida. Kami tidak pasti sama ada larutan garam boleh diterima seperti karbon dioksida dari segi nisbah prosedur yang ditangguhkan akibat kesakitan yang teruk dan keperluan untuk penggunaan ubat tahan sakit. Larutan garam mungkin dikaitkan dengan kurang kesan sampingan berbanding karbon dioksida. Larutan garam mungkin lebih baik daripada karbon dioksida dari segi kualiti paparan histeroskopik. Bukti tidak dapat disimpulkan bagi tempoh prosedur.

Berbanding dengan larutan garam pada suhu bilik, larutan garam suam mungkin mengurangkan skor kesakitan. Bukti tidak dapat disimpulkan untuk hasil lain dalam perbandingan ini.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti rendah hingga sederhana. Batasan utama bukti adalah ketidakupayaan untuk menyelindungi intervensi daripada peserta dan pengendali, kekurangan ketepatan, dan keputusan yang tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information