Pematangan in vitro pada wanita‘subfertile dengan sindrom ovari polisistik yang menjalanireproduksi bantuan

Soalan ulasan

Adakah pematangan in vitro lebih efisien berbanding teknik reproduksi bantuan (ART) standard dalam kalangan wanita subfertile’ dengan sindrom ovari polisistik (PCOS)?

Latar belakang

Wanita dengan PCOS yang menjalani rawatan ART konvensional lebih berisiko sindrom hiper-ransangan ovari, satu keadaan perubatan yang boleh berlaku dalam kalangan wanita yang mengambil ubat kesuburan untuk merangsang perkembangan oosit. Keadaan ini dikaitkan dengan pembesaran kedua-dua ovari, cecair dalam badan wanita, di sekitar paru-paru dan/atau jantungnya, penyakit yang serius, dan dalam kes-kes yang jarang berlaku, kematian. Apabila wanita dengan PCOS mengambil ubat-ubatan untuk merangsang ovari mereka, oosit yang dihasilkan sering tidak matang, yang merupakan sebab utama oosit tidak berjaya disenyawakan dan menyebabkan kadar kehamilan yang rendah. Di samping itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, rangsangan ovari wanita dengan PCOS dengan ubat-ubatan sering menyebabkan hiper-rangsangan ovari. Oleh itu, wanita-wanita ini boleh memanfaatkan pengambilan semula oosit lebih awal diikuti dengan pematangannya di makmal, teknik yang dikenali sebagai pematangan in vitro (IVM),kerana ia dapat mengurangkan risiko-risiko yang dinyatakan sebelum ini. Walaupun persenyawaan berjaya, perkembangan embrio, dan kehamilan cukup masa hasil daripada oosit IVM telah dilaporkan, beberapa kebimbangan telah disuarakan mengenai keselamatan kaedah dari segi kesihatan anak-anak yang dilahirkan dan kadar anomali genetik yang mereka bawa. Kami mengulas bukti sehingga April 2018, buat kali ketiga.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian literatur komprehensif pangkalan data perubatan standard (mulai dari pangkalan data awal hingga 17 April 2018) dengan rujukan Kumpulan Pakar Maklumat Ginekologi dan Kesuburan Cochrane, untuk semua kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditempatkan dalam kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang mengkaji efisiensi IVM berbanding ART konvensional dalam kalangan wanita ‘subfertile’ dengan PCOS. Kami mencari dan memasukkan kajian tanpa mengira bahasa dan negara asal. Dua pengulas memilih dan menilai kajian-kajian secara berasingan, mengekstrak data, dan menghubungi penulis kajian untuk mendapatkan data yang tidak lengkap. Kami mendapati dua kajian (71 wanita), yang diterbitkan sebagai abstrak dalam persidangan antarabangsa, dan enam kajian yang sedang berlangsung yang memenuhi syarat-syarat kemasukan kami.

Keputusan-keputusan utama

Walaupun data yang menggalakkan tentang teknik IVM telah diterbitkan, malangnya masih tiada bukti mengenai hasil utama kami iaitu kadar kelahiran hidup dan keguguran daripada kajian-kajian rawak terkawal untuk mendasarkan sebarang cadangan amalan mengenai IVM sebelum ART bagi wanita dengan PCOS. Daripada hasil sekunder yang dinyatakan dalam ulasan ini, bukti berkualiti sangat rendah menunjukkan kehamilan klinikal lebih tinggi apabila IVM dibandingkan dengan ART konvensional, manakala insiden sindrom hiper-rangsangan ovari adalah sifar dalam kedua-dua kajian dan kedua-dua kumpulan. Kami sedang menunggu keputusan enam kajian yang sedang berlangsung dan ingin tahu bukti lanjut dari kajian yang berkualiti dalam bidang ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information