Kortikosteroid untuk mencegah masalah pernafasan serius dalam kalangan bayi baru lahir selepas pembedahan caesarean pada cukup bulan

Apakah isunya?

Bayi yang lahir cukup bulan (pada atau selepas 37 minggu kehamilan) melalui pembedahan caesarean terancang (elektif) sebelum bermulanya pelahiran lebih cenderung mendapat komplikasi pernafasan berbanding bayi yang lahir melalui faraj. Memberi suntikan yang dipanggil 'kortikosteroid' kepada ibu telah menunjukkan pengurangan risiko masalah pernafasan pada bayi yang lahir sebelum 34 minggu kehamilan, tetapi tidak jelas sama ada ia juga berguna untuk bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean pada cukup bulan.

Mengapa ini penting?

Pembedahan caesarean meningkatkan risiko bayi baru lahir mengalami masalah pernafasan seperti pernafasan yang cepat dalam beberapa hari pertama (dikenali sebagai takipnea transien neonat) dan yang lebih serius adalah sindrom distres respiratori (RDS) . Bayi yang terkesan mungkin perlukan rawatan di unit penjagaan khas. Risiko ini berkurangan daripada 37 minggu hingga 39 minggu gestasi di mana pada peringkat ini ia adalah rendah. Kebanyakan pembedahan caesarean dibuat selepas 39 minggu gestasi tetapi terdapat beberapa keadaan apabila bayi perlu dilahirkan lebih awal. Matlamat ulasan ini adalah untuk menyiasat jika kortikosteroid boleh mengurangkan kadar masalah pernafasan sebelum pembedahan caesarean, tanpa menyebabkan masalah kepada ibu atau bayi.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria boleh kami percaya dan membandingkan kesan kortikosteroid terhadap rawatan plasebo (dami) atau terhadap penjagaan biasa. Kami menilai keyakinan terhadap penemuan berdasarkan faktor seperti bilangan kajian, kaedah kajian, bilangan wanita dan bayi yang terlibat, bilangan peristiwa dan kebolehubahan penemuan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami memasukkan bukti sehingga 20 Januari 2021. Kami sertakan satu kajian melibatkan 942 wanita dan 942 bayi yang direkrut dari 10 hospital di UK. Wanita dalam kumpulan rawatan menerima dua dos kortikosteroid betamethasone melalui suntikan ke otot. Wanita dalam kumpulan kawalan menerima penjagaan biasa. Tiada prosedur pembutaan digunakan, oleh itu semua wanita, penjaga dan penyiasat mengetahui siapa yang menerima kortikosteroid dan yang menerima penjagaan biasa.

Adalah tidak pasti jika kortikosteroid mengurangkan risiko takipnea transien neonat (masalah pernafasan ringan) atau sindrom distres respiratori (iaitu masalah pernafasan yang serius) berbanding penjagaan biasa. Kortikosteroid antenatal mungkin mengurangkan risiko kemasukan ke penjagaan khas neonatal untuk komplikasi pernafasan berbanding penjagaan biasa.

Adalah tidak pasti jika kortikosteroid ada sebarang kesan ke atas risiko bayi yang perlukan sokongan pernafasan tambahan (ventilasi mekanikal) berbanding penjagaan biasa. Adalah tidak pasti jika kortikosteroid antenatal ada sebarang kesan ke atas wanita mendapat jangkitan atau suhu tinggi dalam tempoh 72 jam selepas bersalin (tiada kes dalam kajian ini yang melibatkan 942 wanita).

Kami tidak menemui sebarang bukti tentang risiko bayi mengalami gula darah rendah atau risiko wanita mendapat penyakit serius, kematian atau jangkitan luka.

Kepastian bukti

Kepastian bukti daripada kajian rawak yang disertakan adalah sangat rendah hingga sederhana. Ini bermakna kami tidak boleh meyakini sepenuhnya kajian masa depan akan memberi kesimpulan yang sama tentang manfaat rawatan untuk bayi bagi ibu-ibu yang menerima kortikosteroid antenatal sebelum pembedahan caesarean pada cukup bulan.

Apakah maksudnya?

Risiko kemasukan ke penjagaan khas neonatal kerana masalah pernafasan dikurangkan dalam satu kajian. Adalah tidak pasti jika kortikosteroid ada sebarang kesan ke atas risiko masalah pernafasan yang serius (sindrom distres respiratori) atau pernafasan yang cepat (takipnoea transien) dalam kalangan neonat berbanding penjagaan biasa. Kajian lanjut diperlukan untuk menyiasat jika kortikosteroid antenatal mengurangkan risiko masalah respiratori yang serius (seperti sindrom distres respiratori). Kajian masa depan perlu pastikan penilaian kemungkinan mudarat jangka pendek dan jangka panjang kepada ibu dan bayi selepas menerima kortikosteroid antenatal sebelum pembedahan caesarean pada cukup bulan. Penyelidikan lanjut boleh mempertimbang menilai sama ada sebarang manfaat atau mudarat yang dikenal pasti dengan memberi kortikosteroid antenatal mempengaruhi usia gestasi di mana pembedahan caesarean terancang dibuat.

Terdapat sembilan kajian yang berpotensi layak sedang berlangsung dan boleh disertakan dalam ulasan kemas kini masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information