Penyemburan residual dalam untuk mencegah malaria

Penyemburan rumah dengan racun serangga (penyemburan residual dalam; IRS) untuk membunuh nyamuk adalah salah satu kaedah utama yang digunakan untuk mengawal malaria pada skala besar-besaran. IRS telah membantu menghapuskan malaria dari kawasan-kawasan besar di Asia, Rusia, Eropah, dan Amerika Latin, dan program IRS juga berjaya dijalankan di sebilangan bahagian Afrika.

Satu lagi kaedah yang berjaya untuk mengawal nyamuk bergantung kepada penggunaan halangan fizikal seperti kelambu atau langsir yang juga boleh disembur dengan racun serangga (jaring yang dirawat racun serangga; ITN). Ulasan ini bertujuan untuk melihat manfaat kesihatan IRS dan membanding kaedah ini dengan ITN.

Ulasan ini tidak menilai potensi kesan buruk racun serangga yang diguna untuk IRS, dan termasuk bukan sahaja kajian rawak terkawal (RCT), tetapi juga kajian kawalan sebelum-dan-selepas (CBA) dan siri masa terganggu (ITS), kerana kaedah ini dianggap sesuai.

Enam kajian telah dikenal pasti untuk dimasukkan (empat kluster RCT, satu CBA dan satu ITS). Empat dari kajian-kajian ini dijalankan di sub-Sahara Afrika, satu di India dan satu di Pakistan. IRS mengurangkan transmisi malaria dalam kalangan kanak-kanak sebanyak separuh berbanding dengan tiada IRS di Tanzania (kawasan di mana orang kerap terdedah kepada malaria), dan dapat melindungi semua kumpulan umur di India dan Pakistan (di mana transmisi malaria adalah tidak stabil di mana lebih daripada satu jenis malaria didapati).

Berbanding dengan ITN, IRS lebih memberikan perlindungan (mengikut hasil yang dipilih) dalam satu kajian yang dijalankan di kawasan dengan transmisi malaria yang stabil, manakala ITN seolah-olah memberi lebih perlindungan daripada IRS di kawasan yang tidak stabil. Malangnya, tahap bukti adalah sangat terhad dan tiada kesimpulan yang kukuh boleh dibuat berdasarkan ulasan ini.

Kesimpulannya, walaupun program IRS telah menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dalam pengurangan malaria di seluruh dunia, masih terlalu kurang kajian yang dikendali dengan bermutu untuk mengukur kesan IRS di kawasan yang mempunyai pelbagai transmisi malaria, atau untuk membandingkan kaedah-kaedah IRS dan ITN.  Kajian yang berkualiti tinggi dan jangkamasa panjang berskala besar di kawasan yang tiada atau sedikit kawalan nyamuk masih diperlukan dengan segera. Kajian baru seharusnya merangkumi kaedah IRS dan ITN, dan juga perlu menilai kesan gabungan ITN dan IRS, yang merupakan soalan yang sangat penting dalam penghapusan malaria.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information