Teknik perineum semasa peringkat kedua bersalin untuk mengurangkan trauma perineum

Apakah isunya?

Kelahiran faraj sering dikaitkan dengan beberapa bentuk trauma pada saluran kemaluan, dan koyakan yang menjejaskan spinkter dubur atau mukosa (koyak tahap ketiga dan keempat) boleh menyebabkan masalah yang serius. Trauma perineum boleh berlaku secara spontan atau hasil daripada hirisan pembedahan (episiotomi). Teknik perineum yang berbeza digunakan untuk melambatkan kelahiran kepala bayi, dan membolehkan perineum meregang secara perlahan untuk mengelakkan kecederaan. Urutan, kompres hangat dan teknik pengurusan perineum yang berbeza digunakan secara meluas oleh bidan dan penolong kelahiran. Objektif ulasan yang dikemas kini ini adalah untuk menilai kesan teknik perineum semasa peringkat kedua bersalin terhadap kejadian trauma perineum. Ini adalah versi kemaskini kepada ulasan yang diterbitkan pada 2011.

Mengapakah ini penting?

Trauma pada perineum boleh menyebabkan kesakitan dan masalah lain bagi wanita selepas bersalin. Kerosakan itu digambarkan sebagai koyakan tahap pertama, kedua, ketiga dan keempat - koyakan tahap pertama merupakan kerosakan paling sedikit dan koyakan tahap keempat adalah yang paling banyak. Koyakan tahap ketiga dan keempat, menjejaskan spinkter dubur atau mukosa, dengan itu menyebabkan paling banyak masalah. Mengurangkan penggunaan episiotomi akan mengurangkan trauma pada perineum. Juga, teknik perineum yang berbeza digunakan untuk melambatkan kelahiran kepala bayi. Urutan, kompres hangat dan teknik pengurusan perineum yang berbeza digunakan secara meluas oleh bidan dan penolong kelahiran. Adalah penting untuk mengetahui sama ada ini sememangnya mengurangkan trauma dan kesakitan bagi wanita.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari kajian pada September 2016. Dua puluh dua kajian layak untuk dimasukkan dalam ulasan yang dikemas kini ini tetapi hanya dua puluh kajian (melibatkan 15,181 wanita), menyumbang hasil kepada ulasan. Para peserta dalam kajian adalah wanita tanpa komplikasi perubatan yang menjangkakan kelahiran faraj. Kajian-kajian itu berbeza dalam risiko bias mereka, dan kualiti kajian adalah sangat rendah hingga sederhana.

Lepas tangan (atau bersedia) berbanding hands on

Menggunakan 'lepas tangan' perineum menyebabkan sedikit wanita yang mengalami episiotomi (bukti berkualiti rendah), tetapi tidak memberi perbezaan kepada bilangan wanita tanpa koyakan (bukti kualiti sederhana), koyakan tahap pertama (bukti berkualiti rendah), koyakan tahap kedua (bukti berkualiti rendah), atau koyakan tahap ketiga atau keempat (bukti berkualiti rendah). Terdapat banyak perbezaan yang tidak dapat dijelaskan dalam keputusan antara empat kajian. Tiada kajian yang memberikan data tentang bilangan koyakan yang memerlukan jahitan.

Kompres hangat berbanding kawalan (lepas tangan atau tiada kompres hangat)

Lebih kurang wanita dalam kumpulan kompres hangat mengalami koyakan tahap ketiga atau keempat (bukti berkualiti sederhana). Kompres hangat tidak menjejaskan bilangan wanita dengan perineum utuh (bukti berkualiti sederhana), koyakan yang memerlukan jahitan (bukti kualiti yang sangat rendah), koyakan tahap kedua (bukti kualiti yang sangat rendah), atau episiotomi (bukti berkualiti rendah) . Tidak pasti sama ada kompres hangat meningkatkan atau mengurangkan kejadian koyakan tahap pertama (bukti berkualiti sangat rendah).

Urut berbanding kawalan (lepas tangan atau penjagaan rutin)

Terdapat lebih ramai wanita dengan perineum yang utuh dalam kumpulan urut perineum (bukti berkualiti rendah), dan lebih kurang wanita yang mengalami koyakan tahap ketiga atau keempat (bukti berkualiti sederhana). Urutan nampaknya tidak memberi perbezaan kepada wanita yang mengalami trauma perineum yang memerlukan jahitan (bukti berkualiti rendah), koyakan tahap pertama (bukti kualiti sangat rendah), koyakan tahap kedua (bukti kualiti sangat rendah), atau episiotomi ( bukti yang sangat berkualiti rendah).

Manuver Ritgen berbanding penjagaan standard

Satu kajian kecil mendapati bahawa wanita yang mengalami manuver Ritgen mempunyai sedikit koyakan tahap pertama (bukti berkualiti rendah), tetapi lebih banyak koyakan tahap kedua (bukti berkualiti sangat rendah). Tiada perbezaan antara kumpulan dari segi bilangan koyakan tahap ketiga atau keempat, atau episiotomi (kedua-dua bukti berkualiti rendah).

Apakah maksudnya?

Kami mendapati bahawa urutan dan kompres hangat boleh mengurangkan trauma perineum yang serius (koyak tahap ketiga dan keempat). Teknik lepas tangan boleh mengurangkan bilangan episiotomi tetapi tidak jelas bahawa teknik ini mempunyai kesan yang baik pada trauma perineum yang lain. Masih terdapat ketidakpastian tentang nilai teknik lain untuk mengurangkan kerosakan pada perineum semasa bersalin.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan, untuk menilai teknik perineum yang berbeza dan untuk menjawab soalan tentang cara meminimumkan trauma perineum. Terdapat bukti yang tidak mencukupi tentang pengalaman dan pandangan wanita (hanya satu kajian yang disertakan mengumpul maklumat mengenai perkara ini). Adalah penting untuk penyelidikan masa depan untuk memastikan sama ada intervensi ini boleh diterima oleh wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information