Aterektomi untuk penyakit arteri periferal

Latar belakang

Penyakit arteri periferal adalah penyempitan atau penyumbatan arteri di kaki. Orang dengan keadaan ini boleh mengalami kesakitan ketika berjalan, sakit ketika rehat, atau luka kaki kerana bekalan darah yang lemah. Pilihan rawatan adalah: pembedahan, menggunakan saluran darah atau graf untuk memintas bahagian arteri yang menyempit atau tersumbat; angioplasti belon, apabila belon yang kempis disalurkan ke hujung sempit wayar, kemudian dikembangkan untuk meregangkan arteri; dan sten (digunakan sebagai tambahan kepada angioplasti balon), yang membuka bahagian regangan belon untuk sokongan tambahan. Pilihan terakhir, yang jarang digunakan, adalah teknik yang disebut aterektomi. Rawatan ini memotong atau menghilangkan mendapan lemak (ateroma) di dalam arteri yang menyebabkan penyempitan atau penyumbatan.

Keputusan utama

Dalam ulasan ini, kami membandingkan aterektomi dengan pilihan rawatan lain yang dinyatakan di atas. Kami juga melihat dua kumpulan tersebut untuk menilai sama ada menggunakan belon pelepasan ubat atau sten mempengaruhi dapatan. Kami mengenal pasti tujuh kajian dengan jumlah keseluruhan 527 peserta.

Enam kajian membandingkan aterektomi dengan angioplasti belon (372 peserta, 427 luka yang dirawat). Kami tidak menemui perbezaan yang jelas antara prosedur ketika memeriksa patensi arteri pada enam dan 12 bulan, risiko kematian, kadar kegagalan prosedur awal, keperluan rawatan semula arteri, risiko pembentukan gumpalan (emboliasi), kadar komplikasi atau risiko amputasi. Kami mendapati aterektomi dikaitkan dengan kadar sten kecemasan yang lebih rendah semasa prosedur dan tekanan inflasi belon yang lebih rendah jika dibandingkan dengan angioplasti belon sahaja. Kami tidak menjumpai perbezaan dapatan bergantung pada sama ada belon itu melepaskan ubat atau tidak.

Satu kajian membandingkan aterektomi dengan angioplasti belon dan sten primer (155 peserta dan 155 luka dirawat). Kajian ini tidak melaporkan patensi primer. Kami tidak menemui perbezaan yang jelas antara kumpulan rawatan dalam risiko kematian, kadar komplikasi, kejadian kardiovaskular dan keperluan untuk merawat semula arteri. Kajian ini tidak menemui kejadian kegagalan prosedur awal,

Kami tidak menemui kajian yang membandingkan pembedahan pintasan terhadap aterektomi.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, kepastian kami dalam bukti adalah sangat rendah, yang bermaksud kami tidak yakin bahawa keputusan kami menunjukkan kesan sebenar rawatan. Kami menurunkan kepastian kami dalam bukti kerana kajian berisiko tinggi terhadap bias (kekurangan buta peserta atau penilai, beberapa hasil tidak dilaporkan dan sebilangan peserta tidak menyelesaikan kajian); semua kajian itu kecil; dan hasilnya tidak konsisten.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami tidak menemui perbezaan yang jelas dalam mempengaruhi kadar patensi, kematian atau kejadian kardiovaskular ketika membandingkan aterektomi terhadap angioplasti belon dengan atau tanpa sten. Bukti terhad yang ada tidak menyokong kelebihan aterektomi yang ketara berbanding angioplasti belon konvensional atau sten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information