Latar belakang
Fenomena Raynaud (FR) adalah keadaan yang mempengaruhi saluran darah kecil di hujung anggota badan, biasanya di jari malah juga di jari kaki dan bahagian badan yang lain. Keadaan ini disebabkan oleh penyempitan sementara saluran darah, yang menyebabkan perubahan warna yang berkaitan dengan kebas, kesemutan, dan kesakitan. Pelbagai punca untuk keadaan ini yang diketahui, seperti tekanan, sejuk, dan penggunaan peralatan tangan yang bergetar. Langkah-langkah konservatif untuk mengawal keadaan ini termasuk berhenti merokok dan menjaga kehangatan anggota badan serta persekitaran. Ubat yang melebarkan saluran darah seperti penghalang saluran kalsium (CCB) boleh digunakan tetapi juga boleh memberi kesan sampingan. Ulasan ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan yang melebarkan saluran darah selain CCB.
Ciri-ciri dan keputusan utama kajian
Kami menemui tujuh kajian baru untuk kemas kini ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 15 (carian adalah terkini sehingga 16 November 2020). Kemas kini ini merangkumi kaedah lain pemberian ubat seperti melalui urat (intravena) dan kulit (topikal), berbeza dengan ulasan sebelumnya, yang memfokuskan pada rawatan berbentuk oral. Kajian ini diterbitkan antara tahun 1989 dan 2013 dan melibatkan sejumlah 635 peserta yang ditentukan secara rawak untuk menerima rawatan atau kawalan plasebo. Banyak kajian tidak menjelaskan pelbagai aspek kaedah kajian seperti perawakan, penyembunyian peruntukan, dan pembutaan. Tempoh rawatan berbeza antara dua minggu dan enam bulan.
Inhibitor Enzim Penukar Angiotensin (ACE) sebagai kelas ubat, khususnya enalapril dan captopril dalam ulasan ini, secara amnya meningkatkan kekerapan serangan Raynaud setiap minggu tetapi tidak mempengaruhi tahap keterukan serangan. Enalapril memburukkan penilaian subjektif untuk peningkatan, dan captopril tidak meningkatkan hasil subjektif atau aliran darah jari-jemari. Buflomedil menunjukkan sedikit pengurangan dalam kekerapan dan keterukan serangan dengan peningkatan kesan sampingan. Beraprost dan dazoxiben tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam kekerapan atau keterukan serangan serta dalam skor kecacatan dan dikaitkan dengan peningkatan kesan sampingan. Ketanserin tidak menunjukkan peningkatan dalam frekuensi atau tempoh serta dalam aliran darah jari-jemari tetapi menunjukkan peningkatan dalam skor keterukan RP. Dalam satu kajian kecil, moxisylyte menunjukkan pengurangan kekerapan dan keterukan serangan ke tahap yang kecil tetapi dengan peningkatan kesan sampingan. Gliseril trinitrat topikal tidak menunjukkan sebarang kesan untuk mengurangkan kekerapan serangan setiap minggu. Satu kajian telah melaporkan peningkatan subjektif dalam Skor Keadaan Raynaud (SKR). Satu kajian kecil melaporkan peningkatan dari segi kekerapan dan keterukan serangan sebagai perubahan subjektif. Sakit kepala adalah kesan sampingan rawatan yang paling ketara dan umum. Perencat fosfodiesterase tidak menyebabkan penurunan dalam frekuensi, keterukan, atau tempoh serangan dan tidak meningkatkan SKR. Satu kajian melaporkan kelebihan vardenafil sahaja untuk mengurangkan SKR tetapi mendapati kesannya mungkin kecil. Satu kajian melaporkan bahawa cilostazol meningkatkan kekerapan dan keterukan serangan; lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini. Risiko sakit kepala sebagai kesan sampingan rawatan meningkat dengan penggunaan cilostazol. PF-00489791 pada dos 20 mg telah didapati meningkatkan sedikit semua ukuran subjektif hasil dan SKR.
Kualiti bukti kajian
Kami mempunyai keyakinan yang rendah hingga sederhana terhadap keputusan ini, maka kami tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas mengenai manfaat ubat-ubatan ini untuk memperbaiki gejala RP primer. Kami tidak yakin kerana sedikit peserta yang terlibat dalam kajian, isu tentang bagaimana kajian dirancang, dan perbezaan kaedah mereka dalam mengukur sama ada rawatan berkesan atau tidak. Oleh itu, kepentingan klinikal keputusan kajian ini adalah sukar untuk dinilai, terutamanya apabila tindak balas plasebo adalah tinggi. Ia juga adalah relevan bahawa keputusan untuk setiap kelas ubat dan untuk ubat individu dalam setiap kelas ubat mesti diterjemahkan dalam konteks bahawa mereka mungkin mempunyai kesan farmakologi yang berbeza selain melebarkan pembuluh darah. Perkara ini mesti diambil kira apabila ada kesimpulan yang dibuat mengenai kesan keseluruhan setiap kelas ubat dan/atau ubat individu.
Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.