Apabila kami menggunakan istilah 'individu’ dalam ringkasan ini, kami merujuk kepada individu yang mempunyai keupayaan untuk hamil.
Mesej utama
– Halangan paraserviks, iaitu suntikan anestetik setempat di sekeliling serviks (pangkal rahim), dapat mengurangkan kesakitan semasa pembedahan pengguguran trimester pertama.
– Beberapa kajian telah mengkaji cara untuk mengoptimumkan halangan paraserviks seperti kedalaman suntikan atau bilangan tempat suntikan.
– Keseluruhan individu melaporkan kepuasan yang sederhana tinggi mengenai tahap kawalan kesakitan dan kajian melaporkan sedikit kesan sampingan.
Apakah pembedahan pengguguran trimester pertama?
Pembedahan pengguguran trimester pertama ialah prosedur perubatan yang dijalankan oleh staf penjagaan kesihatan terlatih untuk menamatkan kehamilan yang berumur kurang daripada 14 minggu. Setiap tahun, 73 juta pengguguran telah dilakukan seluruh dunia. Memandangkan prosedur itu menyakitkan, adalah penting untuk mengesorkan pengurusan kesakitan yang berkesan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Adalah tidak jelas apakah kaedah pengurusan terbaik untuk merawat kesakitan ini. Kami berminat untuk mengetahui bukti sedia ada dalam mengurangkan kesakitan dengan anestesia setempat, termasuk pelbagai jenis anestetik setempat dan teknik menggunakannya.
Tambahan pula, kami ingin mengetahui sama ada individu terlibat berpuas hati dengan pengurusan kesakitan mereka atau melaporkan kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang membandingkan pelbagai pilihan pengurusan kesakitan untuk pembedahan pengguguran semasa 14 minggu pertama kehamilan. Kami merumuskan dan membandingkan penemuan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 1992 individu. Semua kajian dijalankan di hospital atau klinik perancang keluarga di lima negara (AS, Kanada, Turki, China, dan Iran). Kajian menyiasat pelbagai jenis anestesia setempat.
Keputusan utama
Halangan paraserviks mengurangkan kesakitan semasa pembedahan pengguguran.
Beberapa kajian mengkaji cara terbaik untuk memberikan halangan paraserviks. Mereka menemui tiada manfaat memberi individu larutan yang kurang berasid, menunggu lebih lama selepas memberikan suntikan untuk memulakan prosedur, menggunakan gel berbanding suntikan, memberikan suntikan yang lebih dalam, atau memberikan lebih banyak suntikan.
Keseluruhannya individu melaporkan kepuasan yang sederhana tinggi tentang kawalan kesakitan dan kajian melaporkan sedikit kesan sampingan.
Apakah batasan bukti?
Sedikit kajian membandingkan rawatan yang sama. Oleh itu, kami tidak dapat membandingkan keputusan mereka. Keyakinan kami terhadap bukti berkisar dari tinggi hingga sangat tidak pasti. Ini adalah kerana, sebagai contoh, beberapa keputusan menunjukkan perbezaan kesakitan yang sangat kecil antara kumpulan kajian atau kajian hanya melibatkan individu pada peringkat awal kehamilan (contohnya, tujuh minggu).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.
Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my