Soalan ulasan
Kami ingin menentukan daripada kajian rawak terkawal kesan kelegaan kesakitan epidural bergantung kepada bilangan kematian berikutan pembedahan dan risiko komplikasi jantung, paru-paru atau saraf dalam orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung.
Penerbitan pertama ulasan ini adalah pada tahun 2013, dan dikemaskini pada tahun 2019.
Latar belakang
Untuk kelegaan kesakitan epidural, pelalian lokal, sejenis opioid, atau campuran kedua-dua ubat diberi melalui kateter ke dalam ruang epidural, iaitu ruang di luar membran yang mengelilingi korda. Analgesia epidural boleh mengurangkan risiko komplikasi selepas pembedahan, seperti jangkitan paru-paru termasuk radang paru-paru, kesukaran dalam pernafasan (kegagalan pernafasan), serangan jantung dan rentak jantung tidak teratur disebabkan oleh fibrilasi atrium. Kebimbangan ialah bagi pembedahan jantung, darah perlu dicairkan untuk mengurangkan pembekuan darah, yang boleh meningkatkan peluang pendarahan di sekeliling korda spina. Pengumpulan darah menghasilkan tekanan ke atas korda spina dan boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal dan kehilangan upaya.
Ciri-ciri kajian
Kami masukkan kajian rawak terkawal melibatkan orang dewasa yang menjalani sebarang pembedahan jantung secara bius am dengan atau tanpa pintasan jantung paru-paru di mana penyelidik membandingkan kelegaan sakit epidural semasa pembedahan berbanding cara lain yang melegakan kesakitan. Pembedahan yang dilakukan adalah graf pintasan arteri koronari atau prosedur injap dan pembedahan untuk penyakit jantung kongenital. Purata umur peserta adalah antara 43 dan 75 tahun. Hasil dinilai sehingga satu tahun selepas pembedahan.
Kami memasukkan 69 kajian dengan 4860 peserta. Di mana dinyatakan, kajian ini telah dibiayai oleh sumber kerajaan (lima kajian), kebajikan (lapan), sumber-sumber institusi (23), atau sebahagiannya oleh industri (dua). Keseluruhannya, 31 kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan. Bukti adalah terkini sehingga November 2018.
Keputusan-keputusan utama
Apabila penyelidik membandingkan analgesia epidural berbanding kelegaan sakit sistemik (contohnya analgesik yang diberikan terus ke dalam vena), mereka tidak dapat mengesan sebarang perbezaan bilangan kematian dalam 30 hari pertama selepas pembedahan (38 kajian, 3418 peserta). Mungkin terdapat perbezaan bilangan orang yang mengalami serangan jantung (26 kajian, 2713 peserta). Penemuan ini disokong oleh bukti berkualiti rendah. Kami mendapati pengurangan kecil dalam risiko depresi respiratori dengan kelegaan sakit epidural (21 kajian, 1736 peserta), tetapi tidak dalam risiko radang paru-paru (10 kajian, 1107 peserta) (bukti berkualiti rendah atau sederhana). Pengurangan risiko depresi respiratori lebih ketara bila pintasan kardiopulmonari diperlukan untuk pembedahan jantung. Analgesia epidural mengurangkan risiko atrium fibrilasi atau atrium fluter awal semasa pemulihan pada sifar hingga dua minggu (18 kajian, 2431 peserta; bukti berkualiti sederhana). Jumlah kemalangan serebrovaskular tidak jelas berbeza (18 kajian, 2232 peserta), dan tiada komplikasi neurologi yang berkekalan atau haematoma epidura dilaporkan (53 kajian, 3982 peserta; bukti berkualiti sangat rendah atau rendah). Walaupun analgesia epidural mungkin telah mengurangkan tempoh intubasi trakea, dicatat terutamanya dalam kajian yang terdahulu, dan amalan klinikal telah berubah sejak masa itu (40 kajian, 3353 peserta; bukti berkualiti sederhana).
Kami menemui hanya enam kajian yang membandingkan kelegaan sakit epidural berbanding aplikasi pelalian lokal ke atas permukaan tubuh untuk menghasilkan sekatan saraf periferi terus ke dalam ruangan sekeliling paru-paru (analgesia intrapleural) dan ke atas luka pembedahan (infiltrasi luka). Kajian ini menyediakan bukti berkualiti rendah- atau sangat rendah dan tidak melaporkan banyak hasil bagi ulasan ini. Penulis kajian melaporkan ketiadaan serangan jantung dan ketiadaan haematoma epidural.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana, rendah, atau sangat rendah. Kami memasukkan bilangan peserta yang terlalu kecil dalam ulasan kami untuk menolak sebarang perbezaan dalam bilangan kematian pesakit antara analgesia epidural dan analgesia sistemik, atau untuk melihat sebarang peningkatan dalam hematoma epidura.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my