Hormon tiroid untuk kecederaan buah pinggang akut

Kecederaan buah pinggang akut (AKI) mempunyai beberapa punca termasuk jangkitan, trauma, batu ginjal, ubat toksik, atau diperoleh semasa rawatan di hospital. Orang dengan AKI akan tiba-tiba hilang fungsi buah pinggang yang mengakibatkan pengeluaran air kencing yang lemah dan pengekalan sisa badan. Dalam setiap 1000 orang yang dibenarkan keluar dari hospital kira-kira 30 didiagnosis dengan AKI; kira-kira 6% daripada semua pesakit kritikal mempunyai AKI. Ramai orang dengan AKI akan mati akibat penyakit ini.

Rawatan AKI bertujuan untuk memulihkan fungsi buah pinggang menggunakan ubat, dialisis buah pinggang, atau kedua-duanya. Kajian eksperimental haiwan terapi hormon tiroid (rawatan ubat) menjaminkan, tetapi ketidakpastian wujud tentang keberkesanan dan keselamatan untuk orang.

Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk menyiasat manfaat dan mudarat terapi hormon tiroid untuk orang dewasa dengan AKI akibat sebarang punca yang berada di hospital dan mendapati dua kajian yang melibatkan 97 orang. Terdapat banyak perbezaan di antara populasi kajian, terutamanya sejarah buah pinggang peserta (ada yang mempunyai buah pinggang sendiri, yang lain pula mempunyai pemindahan); dan ubat-ubatan yang disiasat. Perbezaan ini bermakna kami tidak dapat menilai data kajian (meta-analisis) secara statistik.

Kami nendapati risiko kematian dari sebarang punca lebih tinggi dalam kalangan orang dengan AKI yang menerima terapi hormon tiroid berbanding mereka yang menerima plasebo dalam satu kajian; tiada kematian dilaporkan dalam kajian kedua. Terapi hormon tiroid didapati tidaklah lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo dalam mengubah keperluan pesakit untuk dialisis buah pinggang atau pemindahan. Orang dengan AKI yang menerima terapi hormon tiroid memerlukan dialisis lebih lama daripada mereka yang menerima plasebo dalam satu kajian, tetapi tiada perbezaan dalam tempoh AKI dan dialisis dicatat dalam kajian yang satu lagi. Tempoh inap di unit rawatan rapi dan hospital adalah serupa di kedua-dua mereka yang menerima terapi hormon tiroid dan plasebo dalam satu kajian; tetapi tidak dilaporkan dalam kajian yang satu lagi. Kedua-dua kajian tidak melaporkan sama ada peserta progres kepada penyakit ginjal terminal. Kami telah merancang untuk menganalisis perubahan dalam fungsi ginjal dan bilangan sesi dialisis, tetapi laporan data tidak mencukupi untuk membuat penilaian.

Kajian-kajian yang dimasukkan adalah sedikit, bersaiz kecil, dan kualiti metodologi adalah rendah. Bukti sedia ada mencadangkan penggunaan terapi hormon tiroid dikaitkan dengan hasil yang lebih teruk dalam kalangan pesakit dengan AKI, dan oleh itu penggunaan terapi ini harus dielakkan untuk mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information