Shigellosis adalah jangkitan bakteria kolon yang boleh menyebabkan cirit-birit, disentri (cirit-birit dengan darah dan/atau lendir) dan boleh membawa kematian. Ia berlaku terutama di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah di mana wujud kesesakan dan sanitasi yang buruk, dan boleh menyebabkan kira-kira 1.1 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia, kebanyakan dalam kanak-kanak bawah 5 tahun.
Tujuan memberi antibiotik bagi Shigellosis adalah untuk mempercepatkan pemulihan, mengurangkan keterukan penyakit, dan juga mengurangkan tempoh pesakit berjangkit. Akan tetapi, sesetengah antibiotik boleh mempunyai kesan sampingan yang serius manakala yang lain mungkin tidak berkesan terhadap bakteria Shigella.
Ulasan ini memeriksa keberkesanan dan keselamatan antibiotik dalam merawat disentri Shigella. Walaupun antibiotik yang diuji kelihatan selamat dan berkesan, tiada bukti yang cukup untuk mencadangkan antibiotik yang mana lebih berkesan. Lebih banyak kajian dengan reka bentuk bermutu akan membantu dalam membuat keputusan.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.