Rawatan helium-oksigen (heliox) untuk kanak-kanak dengan krup

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada menyedut heliox adalah selamat dan bermanfaat dalam merawat kanak-kanak dengan krup berbanding rawatan palsu (plasebo) atau terapi lain seperti 30% oksigen lembap, atau 100% oksigen dengan epinefrin (adrenalin, sejenis ubat yang membantu membuka saluran pernafasan).

Latar belakang

Krup adalah penyakit jangka pendek yang mengakibatkan saluran pernafasan atas tersumbat. Krup adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga tiga tahun, dan disebabkan oleh jangkitan virus; ia lebih kerap pada musim luruh dan sejuk. Gejala-gejala termasuk batuk ‘barking’, serak suara, pernafasan abnormal, dan retraksi dinding dada (pergerakan ke dalam kulit dinding dada atau tulang dada semasa inhalasi).

Ubat kortikosteroid adalah rawatan standard untuk kanak-kanak dengan krup, tetapi limitasi rawatan ini adalah ia mengambil masa untuk ubat tersebut berkesan. Kanak-kanak dengan krup serius mungkin memerlukan rawatan kecemasan tambahan seperti tiub pernafasan atau pernafasan mekanikal sokongan. Kanak-kanak dengan krup serius mungkin memerlukan oksigen dan sedutan adrenalin kabus halus (nebulised) Adrenalin adalah selamat secara amnya, tetapi boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti denyut jantung laju dan keresahan, Mengenal pasti satu rawatan selamat, efektif, dan bertindak pantas adalah penting untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.

Gas heliox (kombinasi helium dan oksigen) mungkin memperbaik aliran udara dan melegakan kesukaran bernafas. Sesetengah kajian menunjukkan manfaat heliox untuk kanak-kanak dengan krup.

Ini adalah versi ulasan kemas kini yang diterbitkan pada tahun 2010, 2013, dan 2018.

Tarikh carian

15 April 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak setakan sebarang kajian baru untuk kemaskini ini.

Kami sertakan 3 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta diletak dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) melibatkan sejumlah 91 kanak-kanak dengan krup yang berusia dari 6 bulan hingga 4 tahun. Semua kajian dilaksanakan di jabatan kecemasan. Kajian berlangsung dengan durasi antara 7 dan 16 bulan; 2 kajian dijalankan di AS, dan 1 di Sepanyol. Di dalam satu kajian, kanak-kanak dengan krup ringan menerima sama ada heliox atau 30% oksigen; dalam kajian yang satu lagi kanak-kanak dengan krup sederhana menerima dexamethasone oral (sejenis kortikosteroid) dan sama ada heliox atau tiada rawatan; dan dalam kajian ketiga kanak-kanak dengan krup sederhana ke serius menerima suntikan dexamethasone dan sama ada heliox atau 100% oksigen dengan adrenalin.

Keputusan utama

Dengan bukti yang sangat terhad, masih tidak pasti tentang keberkesanan dan keselamatan heliox. Heliox mungkin tidak lebih berkesan daripada 30% oksigen untuk kanak-kanak dengan krup ringan; sama berkesan dengan 100% oksigen yang diberi dengan satu atau dua dos adrenalin; dan sedikit lebih berkesan berbanding tiada rawatan untuk kanak-kanak dengan krup sederhana. Tiada kajian yang melaporkan kejadian buruk (efek sampingan).

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah kerana kajian-kajian melibatkan bilangan kecil kanak-kanak, dan dalam satu kajian, kanak-kanak, ahli keluarga, dan doktor mengetahui rawatan mana yang diberikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information