Penempatan tiub saliran selepas pembuangan kelenjar limfa dari ketiak untuk kanser payudara

Kanser payudara adalah salah satu malignansi yang paling biasa pada wanita, menyebabkan sejumlah besar kematian di seluruh dunia setiap tahun. Kadangkala, bahagian penting dalam pengurusan kanser payudara adalah pembedahan untuk membuang nodus limfa di ketiak, dipanggil ‘pembedahan axillary’, kadangkala juga dikenali sebagai ‘limfadenektomi axillary’. Pembedahan ini mungkin diperlukan sekiranya kanser merebak (metastasis) ke ketiak. Satu kesan daripada pembuangan sebahagian, atau keseluruhan, nodus limfa ini adalah pengumpulan cecair yang dipanggil seroma boleh berkembang di ketiak. Ini boleh menjadi tidak selesa dan mungkin memerlukan saliran (juga dikenali sebagai aspiration). Komplikasi lain adalah risiko jangkitan, pendarahan dan limfoedema lengan. Satu strategi yang digunakan secara meluas untuk mengurangkan komplikasi tersebut adalah dengan memasukkan satu tiub saliran plastik ke dalam ketiak semasa pembedahan yang membolehkan sebarang cecair terkumpul di ketiak mengalir keluar. Walau bagaimanapun, debat masih berterusan dalam kalangan pakar bedah mengenai nilai saliran sebegitu kerana ia boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan serta boleh melambatkan keluar dari hospital.

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada pemasukan tiub saliran mengurangkan kadar komplikasi atau dikaitkan dengan sebarang risiko atau kemudaratan. Kami menganalisis tujuh kajian rawak terkawal yang melibatkan 960 peserta yang membandingkan pemasukan saliran dengan tiada saliran selepas limfadenektomi axillary untuk rawatan kanser payudara. Kami mendapati bahawa peluang untuk mendapat seroma sekiranya saliran dimasukkan adalah kurang daripada sekiranya tiada saliran dimasukkan (0.46 kali lebih kecil kemungkinannya), dan bilangan aspirasi yang diperlukan (menggunakan jarum untuk mengalirkan cecair seroma di klinik pesakit luar) adalah lebih rendah (secara purata 0.79 kurang bagi setiap peserta). Manfaat ini mesti diseimbangkan dengan purata tinggal di hospital yang lebih lama iaitu 1.47 hari dalam populasi dengan saliran, walaupun semakin ramai pesakit boleh keluar dari hospital dengan saliran tersebut, untuk dikeluarkan pada masa akan datang. Risiko jangkitan, isipadu cecair yang disedut dan kadar limfoedema (bengkak lengan) atau hematoma (lebam) adalah tidak berbeza antara peserta bersaliran dan tidak bersaliran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information