Soalan ulasan
Apakah bukti tentang manfaat potensi klinikal dan bahaya penyediaan pemarkahan risiko penyakit kardiovaskular (cardiovascular disease, CVD) pada orang yang tidak mempunyai sejarah penyakit jantung atau strok?
Latar belakang
Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah sekumpulan keadaan yang merangkumi penyakit jantung dan strok. Garis panduan pencegahan CVD menekankan penggunaan pemarkahan risiko, pengiraan yang menggunakan pembolehubah klinikal untuk menganggarkan kemungkinan serangan jantung atau strok pertama, untuk membimbing pengambilan keputusan rawatan pada populasi umum. Walaupun terdapat banyak perhatian dalam perkembangan jenis pemarkahan risiko CVD yang berbeza, ia juga mempunyai ketidakpastian tentang kesan pemberian pemarkahan risiko CVD dalam praktik klinikal.
Tujuan tinjauan sistematik ini adalah untuk menilai kesan penilaian pemarkahan risiko CVD pada orang dewasa tanpa sejarah penyakit jantung atau strok pada hasil kardiovaskular, tahap faktor risiko, pemberian ubat pencegahan, dan tingkah laku kesihatan.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk percubaan terawak (kajian klinikal yang memasukkan orang ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza secara rawak) yang secara sistematik memberikan pemarkahan risiko CVD atau rawatan biasa kepada orang dewasa tanpa sejarah penyakit jantung atau strok. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2016. Pembiayaan untuk sebahagian besar kajian adalah daripada sumber kerajaan atau syarikat farmakeutikal.
Hasil utama
Kami mengenal pasti 41 kajian yang melibatkan 194,035 peserta. Banyak kajian mempunyai batasan. Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa pemberian pemarkahan risiko CVD memberikan sedikit atau tidak mempengaruhi jumlah orang yang mendapat penyakit jantung atau strok. Pemberian pemarkahan risiko CVD mungkin akan mengurangkan tahap faktor risiko CVD (seperti kolesterol, tekanan darah, serta pembolehubah risiko CVD) dengan jumlah yang sedikit serta mungkin meningkatkan pemberian ubat penurun kolesterol dan tekanan darah pada orang yang berisiko tinggi. Pemberian pemarkahan risiko CVD mungkin dapat mengurangkan bahaya, tetapi hasilnya adalah tidak tepat.
Kualiti bukti
Terdapat bukti berkualiti rendah untuk menjadi panduan penggunaan pemarkahan risiko dalam amalan klinikal. Kajian-kajian mempunyai banyak batasan dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk memberikan pemarkahan risiko CVD. Kemungkinan kajian lebih lanjut akan mempengaruhi hasil ini.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.