Bolehkah intervensi muzik menggantikan sedatif untuk mengurangkan kegelisahan prabedahan?

Mereka yang menunggu prosedur pembedahan sering mengalami tahap kegelisahan yang tinggi. Kegelisahan sedemikian boleh mengakibatkan tindak balas badan yang negatif, seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menyebabkan penyembuhan luka yang lebih perlahan dan peningkatan risiko jangkitan. Kegelisahan yang tinggi juga boleh menjejaskan permulaan anestesia dan melambatkan pemulihan postoperatif. Untuk mengurangkan kegelisahan pesakit, ubat sedatif dan anti-kegelisahan biasanya diberikan sebelum pembedahan. Namun demikian, ini sering mempunyai kesan sampingan yang negatif, seperti menyebabkan rasa mengantuk dan kesukaran bernafas, dan boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan anestetik yang melewatkan pemulihan pesakit dan discaj. Oleh itu, perhatian lebih diberikan kepada terapi muzik dan intervensi ubat muzik, antara intervensi bukan farmakologi yang lain, untuk mengurangkan kegelisahan prabedahan. Intervensi dikategorikan sebagai 'perubatan muzik' apabila didengarkan secara pasif melalui tawaran muzik prarakaman oleh kakitangan perubatan. Sebaliknya, terapi muzik memerlukan implementasi suatu intervensi muzik oleh ahli terapi muzik terlatih, kewujudan suatu proses terapeutik dan penggunaan pengalaman muzik yang disesuaikan mengikut individu. Ulasan sistematik diperlukan untuk mengukur keberkesanan terapi muzik dan intervensi ubat muzik untuk mengurangkan kegelisahan prabedahan.

Ulasan ini memasukkan 26 kajian dengan sejumlah 2051 peserta. Penemuan ini mencadangkan bahawa mendengar muzik mungkin mempunyai kesan yang bermanfaat bagi kegelisahan prabedahan. Kebanyakan kajian menunjukkan beberapa kelemahan metodologi. Oleh itu, keputusan ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Namun demikian, penemuan ini adalah konsisten dengan penemuan tiga sorotan sistematik Cochrane yang lain mengenai penggunaan intervensi muzik untuk mengurangkan kegelisahan pada pesakit perubatan. Oleh itu, kami membuat kesimpulan bahawa intervensi muzik boleh menjadi alternatif yang sesuai untuk ubat sedatif dan anti-kegelisahan bagi mengurangkan kegelisahan prabedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information