Bolehkah intervensi muzik memberi manfaat kepada penghidap kanser?

Isunya
Kanser boleh menyebabkan penderitaan emosi, fizikal dan sosial yang meluas. Terapi muzik dan intervensi perubatan muzik telah digunakan untuk mengurangkan gejala dan kesan sampingan rawatan dan menumpukan perhatian terhadap keperluan psikososial pesakit kanser. Dalam intervensi perubatan muzik, pesakit hanya mendengar muzik yang dirakamkan terlebih dahulu yang ditawarkan oleh pakar perubatan. Terapi muzik memerlukan implementasi satu intervensi muzik oleh ahli terapi muzik terlatih, kewujudan suatu proses terapeutik dan penggunaan pengalaman muzik yang disesuaikan secara peribadi.

Matlamat ulasan
Ulasan ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane sebelumnya dari 2016, yang memasukkan 52 kajian. Dalam pengemaskinian ulasan ini, kami mencari kajian-kajian tambahan yang mengkaji kesan intervensi muzik terhadap hasil psikologi dan fizikal pada penghidap kanser. Kami mencari kajian-kajian sehingga April 2020.

Apakah penemuan utama?
Kami mengenal pasti 29 kajian baru, oleh itu, bukti dalam ulasan terkini ini mempunyai 81 kajian dengan 5576 peserta. Daripada 81 kajian, 74 kajian memasukkan orang dewasa dan 7 memasukkan kanak-kanak. Penemuan kajian mencadangkan bahawa terapi muzik dan intervensi perubatan muzik mungkin mempunyai kesan yang bermanfaat terhadap keresahan, tekanan, harapan, kesakitan, keletihan, kadar nadi dan tekanan darah dalam kalangan pesakit kanser dewasa. Terapi muzik tetapi bukan intervensi perubatan muzik mungkin menambahbaik kualiti hidup pesakit dewasa dan tahap keletihan. Kami tidak menemui bukti tentang intervensi muzik untuk menambahbaik mood, kesusahan atau fungsi fizikal, tetapi hanya beberapa kajian sahaja yang menilai hasil-hasil ini. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan intervensi muzik terhadap hasil-hasil fungsi imunologi, daya tahan, kesejahteraan rohani atau komunikasi pada dewasa kerana tidak terdapat kajian yang mencukupi untuk melihat aspek ini. Oleh kerana bilangan kajian yang kecil, kami tidak dapat membuat kesimpulan untuk kanak-kanak. Oleh itu, lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan.

Secara keseluruhan, faedah rawatan intervensi terapi muzik adalah lebih konsisten merentas kajian berbanding intervensi perubatan muzik, yang membawa kepada keyakinan yang lebih besar terhadap kesan rawatan intervensi terapi muzik yang disampaikan oleh ahli terapi muzik terlatih.

Tiada kesan buruk intervensi muzik dilaporkan.

Kualiti bukti
Kebanyakan kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, oleh itu keputusan kajian perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Kami tidak mengenal pasti sebarang konflik kepentingan dalam kajian-kajian yang disertakan.

Apakah kesimpulannya?
Kami membuat kesimpulan bahawa intervensi muzik mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap kebimbangan, kemurungan, harapan, kesakitan, dan keletihan pada orang dewasa yang menghidap kanser. Tambahan pula, muzik mungkin mempunyai kesan positif yang kecil pada kadar nadi dan tekanan darah. Mengurangkan keresahan, kemurungan, keletihan dan kesakitan adalah hasil kajian yang penting bagi pesakit kanser, memandangkan kesemua ini mempunyai kesan terhadap kesihatan dan keseluruhan kualiti hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia), Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information