Adakah terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat tumor ovari granulosa?

Latar belakang

Tumor sel granulosa (GCT) ovari adalah ketumbuhan ovari yang jarang berlaku(2% hingga 5% dari semua jenis kanser ovari). Hampir semua ketumbuhan ovari berpunca dari lapisan luar ovari, tetapi GCT berpunca dari sel granulosa (sel korda jantina) di dalam ovari yang menghasilkan estrogen (hormon utama perempuan). Ketumbuhan ini membesar dengan agak perlahan dan boleh terjadi semula dalam tempoh 10 hingga 15 tahun selepas rawatan pertama tamat. Jika wanita yang mempunyai ketumbuhan ini mahu mendapat anak, pakar bedah selalunya membuang ovari yang berpenyakit sahaja. Akan tetapi, rawatan piawai adalah berasaskan pembedahan untuk menyingkirkan kedua-dua tiub fallopion, ovari dan juga rahim, kerana hampir semua wanita mendapat GCT sekitar waktu putus haid, di mana kesuburan bukan lagi perkara yang penting.

Soalan kajian

Kajian terdahulu telah mengkaji rawatan kimoterapi (regimen dengan pelbagai kombinasi) digabungkan ataupun berasingan dengan radioterapi selepas pembedahan. Ulasan ini bertujuan untuk meneliti kesan pelbagai kaedah rawatan, termasuk pembedahan yang memelihara kesuburan, atas jangka hayat wanita dengan GCT ovari.

Keputusan-keputusan utama

Lima kajian retrospektif (terdiri daripada 535 wanita dengan diagnosis GCT) menepati kriteria kajian kami.

Dua kajian, yang cuba mengenalpasti faktor yang berkaitan dengan kesan postif (dalam konteks jangka hayat) menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh untuk menunjukkan perbezaan antara cara pembedahan (sama ada secara lubang kunci ataupun kaedah biasa), samada pesakit menjalani pembedahan membuang noda limfa atau menerima adjuvan kimoterapi ataupun radioterapi. Hanya peratus jangka hayat untuk semua wanita dilaporkan dalam dua kajian, manakala terdapat satu kajian tidak melaporkan langsung peratus jangka hayat peserta.

Satu kajian menunjukkan wanita yang menerima radioterapi selepas pembedahan mengalami risiko yang lebih rendah untuk ketumbuhan berulang jika dibandingkan dengan mereka yang hanya menjalani pembedahan. Dalam tiga kajian, tiada bukti kukuh untuk menunjukkan ketumbuhan berulang disebabkan oleh jenis kimoterapi adjuvan atau jenis pembedahan, dan menentukan tahap tumor secara pembedahan mungkin penting. Satu kajian menunjukkan untuk penyakit berulang, tiada perbezaan antara pesakit yang menjalani pembedahan yang memelihara kesuburan (hanya tiub fallopio dan ovari yang berpenyakit dibuang), dan pesakit yang menjalani pembedahan konvensional (kedua-dua tiub fallopion dan ovari dibuang). Oleh kerana kadar jangka hayat yang tinggi bagi penghidap ketumbuhan ini, pembedahan yang memelihara kesuburan mungkin menjadi pilihan rawatan yang penting untuk pesakit muda yang ingin mendapatkan anak di masa hadapan. Jangka hayat tanpa perulangan penyakit tidak dilaporkan dalam satu kajian.

Data keracunan dan kesan tindakbalas buruk tidak dilaporkan dengan lengkap dalam lima kajian tersebut. Dalam lima kajian tersebut, tiada yang melaporkan tentang kualiti hidup. Semua kajian mempunyai bias yang sangat tinggi (kualiti rendah).

Kualiti bukti

Kelima-lima kajian adalah retrospektif (mengkaji penemuan lampau) dan mempunyai risiko bias yang sangat tinggi (kualiti rendah); maka kajian di masa hadapan perlu meneliti bukti terkini dalam kajian rawak ke atas GCT ovari dewasa. Tiga kajian rawak yang membandingkan diantara kimoterapi berlainan sedang dijalankan. Kajian yang mungkin boleh menjawab persoalan tentang pilihan kimoterapi terbaik untuk tumor sel stroma korda jantina ialah kajian rawak yang sedang dijalankan untuk membandingkan keberkesanan dua jenis ubat (carboplatin dan paclitaxel) dengan kimoterapi standard (BEP - bleomycin, etoposide, cisplatin).

Secara keseluruhan, bukti dalam ulasan ini mempunyai kualiti yang rendah, yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap keputusan yang diperolehi. Kajian lanjutan mungkin akan menemui bukti yang berkualiti tinggi yang boleh diperolehi pada masa hadapan. Keberkesanan dan keselamatan cara yang pelbagai dalam merawat pesakit dengan tumor ovari sel granulosa dewasa tidak dapat dikaji lagi dalam kajian yang berkualiti tinggi kerana setakat ini masih belum ada kajian yang sebegitu. Kajian tersebut adalah perlu untuk meneliti keracunan dan kualiti hidup yang berkaitan dengan jenis rawatan yang berbeza, dan untuk menganalisa keselamatan untuk setiap jenis pembedahan yang digunakan. Secara amnya, bukti terkini adalah tidak kukuh untuk membenarkan cadangan untuk perubahan dalam amalan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi fazarina.m@gmail.com

Tools
Information