Statin untuk melambatkan permulaan dan perkembangan degenerasi makular berkaitan dengan umur

Soalan Ulasan
Apakah kesan-kesan statin dalam melambatkan permulaan dan perkembangan degenerasi makular berkaitan dengan umur (AMD)?

Latar belakang
AMD adalah satu penyakit progresif makula (kawasan di belakang mata yang menjejaskan pusat penglihatan). AMD adalah punca utama kebutaan dalam orang yang berusia lebih daripada 65 tahun di negara-negara perindustrian. Kajian menunjukkan bahawa beberapa faktor yang boleh membawa kepada penyakit jantung dan strok adalah sama seperti mereka yang boleh membawa kepada AMD. Statin adalah sejenis dadah yang bertujuan untuk menurunkan paras kolesterol darah. Statin adalah sangat berkesan dalam mencegah strok, ia berkemungkinan juga boleh memberi perlindungan kepada AMD.

Ciri-ciri kajian
Kami telah merangkumi dua ujikaji (sejumlah 144 peserta) dalam ulasan ini. Peserta-peserta terdiri daripada lelaki dan wanita, terutama orang yang berusia lebih daripada 50 tahun, yang mempunyai ketajaman penglihatan yang baik. Peserta adalah sama ada terdedah kepada atau telah didiagnosis dengan peringkat awal AMD. Kedua-dua ujikaji membandingkan simvastatin dengan plasebo. Ujikaji yang lebih besar, dengan 114 peserta dan dijalankan di Australia, menggunakan dos yang lebih tinggi sebanyak 40 mg sehari dan mempunyai tempoh rawatan selama tiga tahun. Ujikaji yang lebih kecil, dengan 30 peserta dan dijalankan di Itali, yang menggunakan dos yang lebih rendah sebanyak 20 mg sehari dan mempunyai tempoh rawatan selama tiga bulan. Bukti yang disediakan dalam kajian ini adalah terkini sehingga Mac 2016.

Keputusan-keputusan utama
Tidak ada ujikaji yang boleh memberikan bukti yang kukuh untuk menentukan sama ada statins berkesan dalam melambatkan permulaan atau perkembangan AMD. Maklumat adalah kurang untuk hasil yang berkaitan dengan penglihatan, kualiti hidup, dan kesan-kesan buruk.

Kualiti bukti
Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah. Dalam ujikaji yang lebih kecil, bilangan peserta yang mendaftar dan tempoh rawatan yang singkat mungkin tidak mencukupi untuk mengesan kesan statin pada AMD, yang berkembang dari masa ke masa. Dalam ujikaji yang lebih besar, 30% peserta tidak menghadiri tiga tahun lawatan susulan, dan jumlah data yang hilang menghalang keupayaan kita untuk membuat sebarang kesimpulan boleh dipercayai untuk ujikaji ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information