Loya (rasa sakit) dan muntah adalah gejala biasa dan merisaukan bagi orang yang menghidap kanser lanjut dan penyakit lain yang mengancam nyawa. Terdapat beberapa ubat untuk mengawal gejala ini. Droperidol adalah salah satu contoh, yang telah digunakan untuk mencegah atau merawat loya dan muntah bagi orang yang menjalani pembedahan atau kemoterapi. Dalam carian kami yang dikemas kini pada bulan November 2013, kami tidak menemui kajian droperidol secara rawak untuk rawatan loya atau muntah bagi orang yang mendapat rawatan paliatif atau menderita disebabkan oleh keadaan perubatan progresif yang tidak dapat disembuhkan. Beberapa kajian melaporkan penggunaan droperidol untuk pencegahan loya dan muntah yang berkaitan dengan kemoterapi. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengetahui ubat mana yang paling sesuai untuk merawat loya dan muntah dalam rawatan paliatif.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.