Rawatan untuk bengkak payudara (payudara terlalu banyak susu, keras, sakit) dalam kalangan wanita yang menyusu

Apakah isunya?

Bengkak payu dara adalah payudara yang terlalu banyak susu sehingga menyebabkan ia menjadi bengkak, keras, sakit. Bengkak payudara lebih kerap berlaku ketika makan dijadualkan, ketika wanita mengalami kesukaran untuk menyusui atau terpisah dari bayinya. Ini mengakibatkan payudara tidak dikosongkan secukupnya.

Mengapakah hal ini penting?

Bengkak payudara adalah merisaukan dan membawa kepada komplikasi seperti radang payudara, puting yang sakit/retak dan bekalan susu berkurangan. Akibatnya, wanita mungkin berhenti menyusu. Bukti yang konsisten tentang bentuk rawatan yang berkesan adalah kurang.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Untuk kemaskini ini, kami mencari kajian-kajian (pada 2 Oktober 2019) yang meneliti sebarang rawatan untuk bengkak payudara dalam kalangan wanita yang menyusu. Kami menemui 21 kajian yang melibatkan 2170 wanita dan 17 intervensi yang berbeza.

Untuk sakit payudara, daun kubis sejuk mungkin lebih baik daripada penjagaan rutin atau pek gel sejuk. Kami tidak pasti sama ada daun kubis sejuk adalah lebih baik daripada daun kubis pada suhu bilik, atau daun kubis pada suhu bilik daripada beg air panas, atau krim ekstrak daun kubis daripada krim plasebo kerana kepastian bukti adalah rendah. Untuk kekerasan payudara, daun kubis sejuk mungkin lebih baik daripada penjagaan rutin tetapi kami tidak pasti apakah ia lebih baik daripada pek gel sejuk. Untuk bengkak payudara, daun kubis pada suhu bilik mungkin lebih baik daripada beg air panas. Kami tidak pasti jika krim ekstrak daun kubis lebih baik daripada krim plasebo kerana kepastian bukti adalah rendah.

Untuk sakit payudara, kompres herba mungkin lebih baik daripada kompres panas dan terapi urut ditambah kompres kaktus/aloe mungkin lebih baik daripada terapi urut sahaja. Kami tidak pasti adakah kompres kaktus/aloe adalah lebih baik daripada terapi urut kerana kepastian bukti adalah rendah. Kompres kaktus/aloe mungkin lebih baik untuk kekerasan payudara berbanding dengan terapi urut. Urutan ditambah kompress kaktus/aloe sejuk mungkin lebih baik untuk kekerasan payudara berbanding dengan urut sahaja. Kami tidak pasti mengenai kesan rawatan kompres pada bengkak payudara dan menghentikan penyusuan kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.

Protease mungkin lebih baik untuk sakit payudara dan pembengkakan payudara, manakala serrapeptase mungkin lebih baik untuk pembengkakan berbanding plasebo. Kami tidak pasti sama ada serrapeptase mengurangkan sakit payudara atau bengkak, atau jika oxytocin mengurangkan pembengkakan payudara berbanding dengan plasebo, kerana kepastian bukti adalah rendah.

Untuk kesakitan payudara, kami tidak pasti mengenai keberkesanan pek gel sejuk berbanding rawatan kawalan kerana kepastian bukti adalah rendah. Untuk kekerasan payudara, pek gel sejuk mungkin lebih baik daripada penjagaan rutin. Kami tidak pasti jika lebih ramai wanita menghentikan penyusuan berikutan rawatan pek gel sejuk berbanding dengan rawatan rutin kerana kepastian bukti adalah rendah.

Dari segi pendapat wanita mengenai rawatan, kepastian bukti adalah rendah. Lebih banyak wanita berpuas hati dengan daun kubis sejuk berbanding dengan rawatan rutin, atau dengan paket gel sejuk. Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam kepuasan wanita antara pek gel sejuk dan penjagaan rutin.

Tiga kajian melaporkan kejadian buruk. Tidak ada wanita yang mengalami kejadian buruk dalam mana-mana kumpulan yang menerima ubat (bukti berkepastian rendah) dan 2/250 wanita yang menerima rawatan kompres herba mengalami kerengsaan kulit berbanding dengan 0/250 dalam kumpulan kompres panas (bukti berkepastian sederhana).

Apakah maksudnya?

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa beberapa rawatan mungkin berpotensi untuk rawatan bengkak payudara, seperti daun kubis, pek gel sejuk, kompres herba dan urut, tetapi lebih banyak kajian adalah diperlukan agar kesan sebenar intervensi-intervensi ini dapat diketahui.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia).. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information