Psikosis merupakan satu istilah yang luas merangkumi beberapa penyakit mental seperti skizofrenia, gangguan skizofreniform, gangguan skizoafektif, kemurungan psikotik dan gangguan bipolar dengan ciri-ciri psikotik. Gangguan psikotik melibatkan kira-kira 3% populasi dan boleh menyebabkan kehilangan upaya tahap tinggi, menjadikannya masalah kesihatan awam yang ketara secara sosial dan ekonomi.
Tekanan boleh mengakibatkan rembesan kortisol dimana ianya telah dikaitkan dengan bermulanya gangguan psikotik dan juga ulangan kes. Peningkatan tahap kortisol telah ditemui dalam sesetengah pesakit psikosis, terutamanya dalam kalangan mereka yang menderita dengan kemurungan psikotik dan mereka yang di dalam fasa awal psikosis. Ubat antiglukokortikoid telah dilaporkan dapat mengurangkan kesan-kesan kortisol dan mungkin berguna untuk pesakit kemurungan psikotik dan gangguan bipolar. Kami menyemak kesemua kajian terawak yang membandingkan antiglukokortikoid serta ubatan berkaitan dengan plasebo dalam kalangan pesakit psikosis - psikosis prodromal atau kejadian psikosis yang pertama.
Sebelas kajian (melibatkan 509 peserta) telah dimasukkan ke dalam ulasan ini. Beberapa ubat yang berkaitan dengan antiglukokortikoid telah dinilai, termasuk dehydroepiandrosterone (DHEA)(n = 5), mifepristone (n = 4), dexamethasone (n = 1) dan ketoconazole (n = 1). Kesemua peserta adalah orang dewasa yang mempunyai diagnosis skizofrenia, gangguan skizoafektif atau kemurungan psikotik. Kebanyakan kajian menilai pemberian ubat antiglukokortikoid sebagai sebahagian daripada rawatan biasa. Data yang ada daripada kajian-kajian ini menunjukkan tiada kesan bagi simtom-simtom psikotik secara keseluruhan, simtom-simtom ‘positif’ atau simtom-simtom ‘negatif’. Satu kajian besar yang membandingkan mifepristone dengan plasebo sebagai rawatan tunggal menunjukkan terdapat perbezaan yang ketara di dalam jumlah pesakit yang respon kepada rawatan mifepristone berbanding dengan plasebo. Kesan ini tidak dilihat serta merta tetapi 21 hari selepas rawatan dimulakan. Data kesan buruk adalah berbeza-beza. Apabila antikortikoid secara individu seperti mifepristone dan DHEA dibandingkan dengan plasebo, insiden kesan sampingan adalah serupa antara kumpulan yang dikaji; bagaimanapun, data terkumpul daripada pelbagai antiglukokortikoid yang diberikan sebagai tambahan kepada rawatan gabungan menunjukkan antiglukokortikoid meningkatkan insiden kesan sampingan berbanding plasebo. Ringkasnya, hanya bilangan kecil kajian yang sedang dijalankan, dan kebanyakannya melibatkan bilangan peserta yang rendah. Data sedia ada yang terhad tidak memberikan bukti yang cukup bagi menyokong penggunaan rawatan antiglukokortikoid untuk psikosis; kajian-kajian tambahan adalah diperlukan.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my