Intervensi untuk pesakit dialisis dengan jangkitan virus hepatitis C (HCV)

Apakah isunya?

Hepatitis C adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis C (HCV) yang merebak dari seorang ke seorang melalui darah, akibat perkongsian jarum pengambilan dadah dan barangan lain yang tercemar dengan darah. Virus ini kekal dalam tubuh untuk tempoh masa yang lama, ia juga boleh menyebabkan kerosakan hati di dalam sesetengah individu, dengan kemusnahan secara perlahan-lahan atau sirosis dan juga kanser hati. Mereka yang dijangkiti mungkin mengalami lemah tubuh, loya, jaundis (kekuningan pada mata dan kulit) dan kehilangan berat badan, dan mereka mungkin mengalami peningkatan dalam enzim hati dan bilirubin.

Jangkitan HCV didapati di seluruh dunia namunnya jumlahnya berbeza antara satu negara ke negara yang lain, dengan jumlah kira-kira 70 juta orang menghidap jangkitan kronik dan mewakili 40% daripada pesakit dengan penyakit hati kronik. Mereka yang menjalani hemodialisis untuk jangka masa yang lama mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan ini. Ubat-ubatan antiviral yang bertindak secara langsung, yang boleh diambil secara oral, telah menggantikan interferon yang sebelum ini digunakan untuk rawatan jangkitan HCV. Antiviral yang bertindak secara langsung mempunyai keberkesanan dan toleransi yang lebih baik, dan ia berkesan untuk hampir kesemua pesakit. Interferon perlu diberikan sebagai suntikan di bawah kulit dan kurang berkesan, ia juga mempunyai lebih banyak kesan sampingan. Rawatan dengan antiviral yang bertindak secara langsung perlu diberikan selama 12 minggu berbanding dengan interferon yang perlu diberikan sekurang-kurangnya selama 24 hingga 48 minggu dengan atau tanpa tablet ribavirin untuk meningkatkan keberkesanannya. Walau bagaimanapun, ribavirin boleh terkumpul dalam buah pinggang pesakit dan mengakibatkan kemusnahan sel darah merah dan anemia.

Apa yang telah kami lakukan?

Sejak penerbitan ulasan terdahulu kami pada tahun 2015, ubat-ubatan baru (antiviral yang bertindak secara langsung) untuk rawatan jangkitan HCV telah wujud, oleh itu, kami kini mengemas kini bukti untuk memasukkan keberkesanan antiviral yang bertindak secara langsung. Kemas kini ini mencari bukti baru daripada kajian terkawal secara rawak untuk rawatan HCV di kalangan pesakit dialisis.

Apa yang kami dapati?

Kemas kini ini mendapati tiga kajian dengan kira-kira 600 pesakit yang boleh dimasukkan sebagai tambahan kepada ulasan terdahulu yang mempunyai 10 kajian semuanya di dalam pesakit hemodialisis. Penggunaan gabungan grazoprevir dan elbasvir iaitu antiviral yang bertindak secara langsung menghasilkan 100% tindak balas menjelang penghujung rawatan, tetapi data susulan tiada, dan buktinya tidak berkualiti tinggi. Penambahan ribavirin kepada interferon menghasilkan tindak balas berterusan yang lebih baik (bebas daripada virus dalam darah selepas rawatan dihentikan), mengurangkan risiko untuk penyakit berulang tetapi terdapat lebih banyak kesan buruk. Telaprevir bersama-sama dengan ribavirin dalam dos yang berbeza digabungkan dengan interferon pegylated (PEG) dalam dos dan tempoh yang berbeza menghasilkan tindak balas penghujung rawatan dan berterusan yang hampir serupa, tetapi buktinya tidak berkualiti tinggi. Interferon PEG adalah lebih berkesan daripada interferon standard dalam menghasilkan tindak balas jangka masa pendek tetapi ia tidak berterusan dan kedua-duanya sama-sama boleh diterima oleh pesakit. Peningkatan dos interferon PEG tidak menambah baik tindak balas tetapi boleh diterima. Batasan ulasan ini adalah hanya beberapa kajian yang sedia ada dengan bilangan peserta yang sedikit, dan pesakit dengan penyakit yang serius telah dikecualikan daripada kajian terdahulu kerana jangkaan kesan sampingan. Oleh itu, bukti yang ada tidak berkualiti tinggi. Bukti untuk ubat-ubatan baru iaitu antiviral yang bertindak secara langsung, yang kini telah menggantikan penggunaan interferon di kalangan populasi umum adalah terhad dan tidak berkualiti tinggi.

Kesimpulan

Ini adalah kemas kini ulasan untuk rawatan yang ada bagi pesakit dialisis yang mempunyai jangkitan HCV. Antiviral bertindak secara langsung kini telah menggantikan penggunaan interferon sebagai rawatan. Grazoprevir dan elbasvir menghasilkan tindak balas pada penghujung rawatan dalam hampir kesemua pesakit, tetapi tiada data yang sedia ada untuk tindak balas berterusan semasa susulan, dan buktinya tidak berkualiti tinggi. Gabungan telaprevir, ribavirin dan interferon PEG yang digunakan dalam dos dan tempoh masa yang berbeza adalah hampir sama dalam keberkesanan, dan buktinya tidak berkualiti tinggi. Interferon PEG lebih berkesan daripada interferon standard untuk menghasilkan tindak balas menjelang penghujung rawatan yang tidak berterusan, namun kedua-duanya sama-sama boleh diterima. Peningkatan dos interferon PEG tidak menambah baik tindak balas, tetapi dos tinggi dan rendah kedua-duanya boleh diterima. Penambahan ribavirin menghasilkan tindak balas yang lebih baik walaupun setelah rawatan dihentikan, tetapi mempunyai kesan buruk yang lebih banyak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information