Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika perubahan perjawatan jururawat di hospital memperbaiki hasil pesakit atau jururawat, atau memberi impak terhadap kos penjagaan kesihatan. Perjawatan jururawat boleh merujuk kepada bilangan jururawat per pesakit, gabungan pelbagai jenis jururawat di unit hospital, atau model-model yang diguna untuk mengagihkan jururawat kepada pesakit di unit hospital.
Mesej utama
Penyelidikan berkaitan perjawatan jururawat hospital adalah sangat terhad dan penemuan-penemuan harus diguna dengan berhati-hati.
Tidak mungkin penambahan jururawat dengan kemahiran kejururawatan yang tinggi (Jururawat Pengamal (NPs)) atau dengan kepakaran dalam bidang amali tertentu (Pakar Jururawat Klinikal (CNS)) kepada perjawatan jururawat hospital membuat sebarang perbezaan kepada kadar kematian pesakit. Kami tidak pasti apa kesan lain yang mungkin ada pada pesakit, contohnya, jika ia mengurangkan masa yang dihabiskan oleh pesakit di hospital atau kos penjagaan pesakit. Kami tidak pasti jika perubahan cara peruntukan jururawat kepada penjagaan pesakit boleh mengurangkan bilangan jururawat yang meletak jawatan, atau jika memperkenalkan jururawat yang tidak berkelayakan kepada tenaga kerja kejururawatan mengurangkan kos, kerana penyelidikan sangat terhad.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kami menemui kajian yang melihat kesan empat strategi utama atau model perjawatan jururawat: menambah jururawat pakar kepada tenaga kerja jururawat, memperkenalkan kakitangan kejururawatan yang kurang berkelayakan kepada tenaga kerja kejururawatan, mengubah cara jururawat diperuntukkan dalam sesebuah unit hospital yang menyediakan penjagaan pesakit, dan mengubah jadual shif jururawat di unit hospital. Kami lebih berminat dengan impak intervensi ke atas tujuh hasil utama: peletakan jawatan kejururawatan (kadar ganti), kematian pesakit, pesakit dimasukkan semula selepas discaj dari hospital, pesakit yang hadir di Jabatan Kecemasan (ED) untuk penjagaan selepas discaj, bilangan hari pesakit tinggal di hospital, bilangan pesakit dengan luka tekan, dan kos penjagaan.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami menemui 11 kajian di mana jururawat lanjutan atau pakar telah ditambah kepada tenaga kerja kejururawatan. Tiada kajian melaporkan impak intervensi ini terhadap peletakan jawatan jururawat; tiga kajian mendapati ia boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian pesakit. Kami tidak pasti sama ada intervensi ini mempunyai kesan ke atas pengurangan bilangan pesakit yang masuk semula selepas discaj dari hospital atau menghadiri ED untuk penjagaan selepas discaj kerana penyelidikan sangat terhad. Kami juga tidak pasti tentang kesan mengurangkan bilangan hari pesakit tinggal di hospital, bilangan pesakit dengan luka tekan, atau kos penjagaan kesihatan, juga kerana penyelidikan sangat terhad.
Kami mendapati satu kajian relevan yang menyelidik tentang pertambahan pembantu jururawat kepada tenaga kerja kejururawatan, yang bertujuan untuk mengurangkan kos. Kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kos kerana penyelidikan sangat terhad.
Kami mendapati lima kajian tentang kejururawatan primer (di mana seorang jururawat bertanggungjawab untuk penjagaan sejumlah pesakit selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu) dan dua kajian model perjawatan jururawat. Satu model perjawatan jururawat menguji jadual shif jururawat unit-unit hospital (perjawatan kendiri), dan kajian lain membandingkan pelbagai cara menjadualkan shif jururawat. Kami tidak pasti impak kejururawatan utama atau perjawatan jururawat terhadap perletakan jawatan jururawat atau kos kerana penyelidikan sangat terhad.
Adakah in ulasan terkini?
Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Mac 2018.
Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com