Disulfiram sebagai ubat untuk rawatan kebergantungan kokain

Mesej utama

• Dalam kalangan pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain, disulfiram dibandingkan plasebo boleh meningkatkan bilangan pesakit yang menghindari kokain pada akhir rawatan, tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kekerapan dan jumlah penggunaan kokain dan pada bilangan orang yang dapat mencapai dan mengekalkan penghindaran untuk sekurang-kurangnya tiga minggu pada akhir rawatan. Kami tidak pasti sama ada disulfiram mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini pada pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain.

• Dalam kalangan pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain, disulfiram dibandingkan naltrexone boleh mengurangkan kekerapan penggunaan kokain tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas jumlah kokain yang digunakan.

• Daripada 13 kajian yang dimasukkan dalam ulasan kami, 11 telah dijalankan di Amerika Syarikat. Selain itu, kebanyakan pesakit yang terlibat dalam kajian ini adalah lelaki. Keputusan kami mungkin tidak terpakai dalam konteks lain kerana kesan rawatan mungkin dipengaruhi dengan kuat oleh persekitaran sosial, etnik dan jantina.

Apakah kebergantungan kokain?

Kokain adalah salah satu psikoperangsang yang paling lazim digunakan di seluruh dunia. Psikoperangsang adalah ubat atau ubat-ubatan haram yang merangsang sistem saraf dan mempunyai sifat meningkatkan mood. Anggaran terkini menunjukkan lebih daripada 0.4% orang dewasa pernah menggunakan kokain sekurang-kurangnya sekali pada tahun lalu.

Penggunaan kokain dikaitkan dengan masalah perubatan, psikologi dan sosial termasuk penyebaran penyakit berjangkit (seperti AIDS, hepatitis, tuberkulosis), jenayah, keganasan dan pendedahan kepada dadah semasa hamil. Penggunaan kokain boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV melalui suntikan berisiko tinggi dan perlakuan seksual.

Kebergantungan kokain adalah gangguan mental teruk yang bercirikan keinginan yang amat sangat untuk menggunakan kokain dan ketidakupayaan mengawal penggunaan kokain menyebabkan orang menggunakannya dalam jumlah yang lebih besar daripada apa yang mereka inginkan.

Bagaimana kebergantungan kokain dirawat?

Kebergantungan kokain biasanya dirawat dengan rawatan psikososial. Tiada rawatan farmakologi sedia ada yang berkesan. Kajian telah menilai sama ada ubat yang dipanggil disulfiram boleh membantu pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain. Disulfiram pada masa ini digunakan untuk merawat pesakit yang mempunyai kebergantungan alkohol. Ia menyebabkan tindak balas fizikal yang tidak menyenangkan jika seseorang itu minum alkohol.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada disulfiram boleh membantu pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain mengurangkan penggunaan kokain atau berhenti menggunakan kokain sama sekali. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan dengan disulfiram boleh diterima dan selamat untuk pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari secara menyeluruh kajian rawak (dimana pesakit dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan disulfiram dengan tanpa ubat-ubatan, plasebo (rawatan dummy), atau ubatan lain.

Kami membandingkan dan merumuskan dapatan serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan ketepatan keputusan setiap kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemukan 13 kajian yang melibatkan 1191 pesakit yang mempunyai kebergantungan kokain. Tempoh purata rawatan adalah lebih kurang tiga bulan. Dua belas kajian membandingkan disulfiram dengan plasebo atau tanpa rawatan farmakologi dan tiga kajian membandingkan disulfiram dengan naltrexone (ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang mempunyai kebergantungan alkohol atau opiod).

Keputusan utama

Disulfiram berbanding plasebo boleh meningkatkan bilangan pesakit yang tidak menggunakan kokain pada akhir rawatan, tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kekerapan penggunaan kokain (bilangan hari atau minggu penggunaan kokain pada akhir rawatan), jumlah penggunaan kokain (berat kokain yang digunakan atau wang yang dibelanjakan untuk kokain pada akhir rawatan), bilangan pesakit yang mencapai dan mengekalkan penghindaran selama sekurang-kurangnya tiga minggu dan bilangan pesakit yang rawatannya tergendala sebelum waktunya. Kami tidak pasti sama ada disulfiram mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini ke atas pesakit rang yang mengalami ketagihan kokain.

Disulfiram berbanding naltrexone boleh mengurangkan kekerapan penggunaan kokain tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas jumlah penggunaan kokain atau bilangan pesakit yang rawatannya tergendala sebelum waktunya.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak dapat memastikan kajian-kajian tersebut membahagikan pesakit kepada kumpulan dengan sewajarnya, kerana kebanyakan kajian tidak menerangkan proses ini secara terperinci.

Terdapat variasi penting dalam ciri-ciri pesakit yang terlibat dalam kajian: ada yang mempunyai gangguan penggunaan bahan yang lain, ada yang menggunakan ubatan lain dan ada yang menerima rawatan psikososial lain.

Tambahan pula, kebanyakan pesakit orang yang terlibat dalam kajian tersebut adalah lelaki, dan 11 daripada 13 kajian dijalankan di Amerika Syarikat. Oleh itu keputusan kami mungkin tidak terpakai kepada wanita atau orang yang tinggal di negara lain.

Sejauh mana bukti ini terkini ?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information