Cerebrolysin untuk strok iskemia akut

Apa yang kami ingin tahu?

Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui sejauh mana ubat yang dipanggil Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin lain berfungsi untuk merawat strok.

Apakah itu strok?

Strok ialah serangan kelemahan secara tiba-tiba yang biasanya menjejaskan satu bahagian badan. Ia berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terputus, menghentikan bekalan oksigen dan nutrien ke sel-sel otak, yang dipanggil iskemia. Jika bekalan darah ke otak dihentikan, sel-sel otak mula mati. Ini boleh menyebabkan kecederaan otak, kehilangan upaya, dan kemungkinan kematian.

Strok iskemia adalah jenis strok yang paling lazim. Strok iskemia berlaku apabila aliran darah disekat oleh darah beku atau cebisan bahan berlemak di dalam arteri.

Mengapakah ulasan ini penting?

Strok adalah keadaan kecemasan perubatan, dan rawatan segera adalah sangat penting. Strok iskemia biasanya dirawat dengan gabungan ubat untuk mencegah dan melarutkan darah beku, menurunkan tekanan darah, dan menurunkan tahap kolesterol.

Cerebrolysin, dan agen seperti Cerebrolysin Cortexin, adalah campuran protein, peptida (rantai pendek asid amino) dan asid amino (molekul kecil yang bergabung untuk membentuk protein) yang dibersihkan daripada otak haiwan (lembu dan babi). Sesetengah protein dalam Cerebrolysin atau Cortexin ditemui secara semula jadi di dalam otak manusia dan boleh membantu melindungi dan membaiki sel-sel otak. Cerebrolysin dan Cortexin biasanya digunakan di beberapa negara sebagai rawatan untuk strok.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat penggunaan Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin untuk merawat strok iskemia akut. Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang peserta terima ditentukan secara rawak, kerana kajian-kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai rawatan.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Jun 2022.

Apa yang kami temui

Kami menemui tujuh kajian dengan 1773 orang yang mengalami strok iskemia akut. Kajian-kajian tersebut melihat kepada kesan pemberian Cerebrolysin bersama ubat-ubatan untuk mencegah dan melarutkan darah beku (terapi piawai) semasa 48 jam pertama selepas strok. Kajian-kajian tersebut membandingkan rawatan ini dengan terapi piawai sahaja atau terapi piawai ditambah rawatan palsu (plasebo).

Kajian-kajian itu dijalankan di hospital-hospital di Austria, Croatia, Republik Czech, Hungary, Rusia, Slovakia, Slovenia, China, Hong Kong, Iran, Myanmar, dan Korea Selatan, dan berlangsung dari 28 hari hingga 90 hari.

Keputusan ulasan kami

Menambah Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin, Cortexin, kepada terapi piawai mungkin tidak menambah manfaat kepada risiko kematian akibat sebarang sebab selepas strok (6 kajian, 1689 orang).

Kami tidak menemui bukti yang mencukupi tentang bagaimana Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin Cortexin mempengaruhi:

• risiko kematian atau memerlukan penjagaan berterusan pada akhir kajian;
• risiko kematian dalam tempoh dua minggu selepas diserang strok;
• masa yang diambil untuk orang kembali bekerja; atau
• kesejahteraan (kualiti hidup) orang.

Kami tidak pasti sama ada menambahkan Cerebrolysin kepada terapi piawai membuat sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang menarik diri dari kajian (6 kajian; 1689 orang).

Cerebrolysin ditambahkan kepada terapi piawai mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada:

• jumlah orang yang mengalami kesan tidak diingini yang serius (kesan yang mengancam nyawa yang boleh menyebabkan kematian, kehilangan upaya, atau tinggal di hospital lebih lama) (3 kajian; 1335 orang);
• jumlah kesan tidak diingini yang serius yang menyebabkan kematian (3 kajian; 1335 orang).

Walau bagaimanapun, lebih banyak orang yang diberi gabungan Cerebrolysin dan terapi piawai mungkin mengalami kesan tidak diingini yang serius yang tidak membunuh mereka daripada mereka yang diberi terapi piawai (bersendirian atau dengan plasebo) (3 kajian; 1335 orang).

Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin Cortexin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada jumlah bilangan orang yang mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini (4 kajian, 1607 orang).

Keyakinan kami terhadap keputusan

Kami cukup yakin (pasti) dengan keputusan ulasan ini. Walau bagaimanapun, bukti datang dari kajian yang sedikit. Tiga kajian melibatkan syarikat farmaseutikal yang membuat Cerebrolysin, yang mungkin mempengaruhi bagaimana kajian-kajian tersebut direka, dijalankan, dan dilaporkan. Kesimpulan kami berkemungkinan berubah jika keputusan kajian lanjutan menjadi tersedia.

Kesimpulan

Menambah Cerebrolysin atau agen seperti Cerebrolysin, Cortexin, kepada terapi piawai selepas strok iskemia akut mungkin:

• tidak mengurangkan risiko kematian.

Menambahkan Cerebrolysin kepada terapi piawai selepas strok iskemia mungkin:

• tidak mempengaruhi bilangan orang yang mengalami kesan tidak diingini yang serius keseluruhannya; tetapi
• meningkatkan bilangan orang yang mempunyai kesan tidak diingini yang serius, yang tidak membawa maut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information