Mesej utama
Strok boleh menjejaskan kemampuan seseorang untuk memproses dan memahami maklumat dari deria mereka, termasuk pendengaran, bau, somatosensasi (rasa suhu badan, kedudukan, dan pergerakan), rasa, sentuhan, dan penglihatan. Memproses dan memahami maklumat dari deria ini dikenali sebagai persepsi.
Sedikit penyelidikan telah dilakukan untuk mengetahui sama ada rawatan untuk masalah berkaitan strok dengan persepsi membantu.
Orang yang mempunyai masalah dengan pendengaran, bau, somatosensasi, rasa, sentuhan, dan penglihatan disebabkan oleh strok harus terus mengambil bahagian dalam pemulihan seperti yang disyorkan oleh garis panduan klinikal. Profesional penjagaan kesihatan harus terus menawarkan pemulihan untuk masalah persepsi yang berkaitan dengan strok sesuai dengan garis panduan dan cadangan klinikal semasa.
Apakah gangguan persepsi?
Sebelum strok, orang dewasa mengumpulkan maklumat mengenai dunia melalui deria mereka: pendengaran, bau, somatosensasi, rasa, sentuhan, dan penglihatan. Somatosensasi merujuk kepada sensasi yang timbul dari kulit, otot, atau sendi, dan termasuk persepsi tekanan, getaran, suhu, dan kedudukan. Maklumat yang dikumpulkan mungkin termasuk warna, bentuk, dan saiz objek yang mereka lihat. Bersama dengan ingaan dan pengalaman budaya, seseorang dapat memahami bagaimana perasaan seseorang daripada melihat ekspresi wajah mereka. Contoh lain ialah bagaimana bau yang berbeza dapat dikenal pasti melalui deria bau dan bagaimana tekstur yang berbeza dapat dirasakan melalui deria sentuhan. Strok boleh menjejaskan kebolehan ini.
Bagaimanakah kecelaruan persepsi dirawat?
Profesional penjagaan kesihatan, termasuk ahli terapi pekerjaan, ahli fisioterapi, dan ahli psikologi, boleh menawarkan terapi yang berbeza. Rawatan mungkin termasuk ubat, rangsangan otak, atau pemulihan persepsi melalui aktiviti, teka-teki, strategi, atau pengulangan tugas yang intensif.
Apakah yang ingin kami tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada menerima rawatan kecelaruan persepsi lebih baik daripada tiada rawatan sama sekali. Kami mengukur kemajuan dengan melihat berapa baik seseorang dapat menjalankan aktiviti harian mereka. Kami mengukur sama ada rawatan juga membantu perkara yang lain, seperti kualiti hidup, kesihatan mental, dan persepsi. Kami mencari maklumat mengenai bila keadaan tidak berjalan lancar. Kami juga meneroka sama ada satu rawatan lebih bermanfaat daripada yang lain.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari semua penyelidikan yang berkaitan. Kami menilai kualiti 18 kajian dan meringkaskan keputusannya.
Apa yang kami temui?
Kajian yang kami dapati adalah mengenai kecelaruan persepsi yang berbeza: tiga kajian melihat kepada kecelaruan persepsi sentuhan, tujuh melihat kepada somatosensasi, tujuh kajian melihat kepada penglihatan, dan satu melihat kepada beberapa masalah persepsi pada masa yang sama. Rawatan yang digunakan dalam kajian ini termasuk tugas menyalin kertas dan pensil untuk meningkatkan ingatan visual dan menggunakan robot untuk membantu meningkatkan perasaan seseorang tentang tempat tubuh mereka berada. Kami tidak menemui maklumat untuk menunjukkan bahawa sebarang rawatan berjaya.
Mengapa kita masih tidak pasti?
Kami menemui beberapa kajian. Setiap kajian memasukkan sebilangan kecil orang dengan masalah persepsi selepas strok. Dengan sebilangan kecil orang yang terlibat, hasilnya tidak jelas. Setiap kajian melihat kepada intervensi yang berbeza. Kurang daripada separuh kajian-kajian tersebut (tujuh) mengukur keupayaan untuk menjalankan aktiviti sehari-hari.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Maklumat kami terkini pada bulan Ogos 2021.
Berdasarkan maklumat yang kami kumpulkan, kami masih tidak jelas mengenai faedah atau bahaya rawatan untuk masalah persepsi selepas strok. Orang yang mengalami masalah persepsi selepas strok harus terus ditawarkan pemulihan seperti yang disyorkan dalam garis panduan klinikal.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).