Perencat reseptor faktor pertumbuhan epidermal (EGFR) untuk kanser kolorektal metastatik

Latar belakang

Kanser kolon atau rektum yang telah merebak ke organ-organ lain (kanser kolorektal metastatik) adalah satu penyakit yang lazim terjadi dan biasanya tidak boleh dibuang secara surgikal. Rawatan utama adalah kemoterapi, terapi tersasar (seperti perencat EGFR, iaitu subjek ulasan ini), atau kedua-duanya. Reseptor faktor pertumbuhan epidermal (EGFR) merupakan satu protein yang terdapat pada sel-sel yang memain peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan sel. Antibodi-antibodi monoklonal adalah molekul yang dibangunkan untuk menempel pada sesuatu protein bagi meningkatkan atau mengurangkan tindakan pada tapak protein tersebut. Antibodi monoklonal EGFR (EGFR MAb), seperti cetuximab dan panitumumab, menyasar dan menyekat EGFR secara khusus, dan menghentikan pertumbuhan sel kanser. Penyelidikan menunjukkan orang dengan mutasi (perubahan gen) pada KRAS (satu gen yang berkaitan dengan EGFR) mungkin tidak akan bermanfaat daripada ubat-ubatan ini ('mutan KRAS'), tetapi mereka yang tiada mutasi ('KRAS jenis liar') juga bermanfaat. Penyelidikan terbaharu juga mencadangkan orang yang mempunyai mutasi pada satu gen lain yang berkaitan (NRAS) mungkin tidak akan bermanfaat daripada ubat-ubatan ini juga – iaitu, pesakit tidak boleh mempunyai mutasi sama ada dalam KRAS atau NRAS (dikenali sebagai 'RAS jenis liar lanjutan ')

Sejenis lagi ubat yang menyekat EGFR yang dikenali sebagai perencat kinase tirosina (EGFR TKI) (contohnya seperti erlotinib dan gefitinib) adalah berkesan dalam rawatan kanser paru-paru yang mempunyai mutasi EGFR, tetapi manfaat ubatan tersebut dalam kanser kolorektal adalah tidak jelas.

Objektif

Untuk menentukan manfaat dan mudarat EGFR MAb dan EGFR TKI dalam rawatan kanser kolorektal metastatik. Matlamat utama kami adalah untuk melihat sama ada ubat-ubatan ini memanjangkan masa sebelum progresi penyakit (pertumbuhan penyakit tersebut, biasanya ditakrifkan sebagai pertumbuhan lebih daripada 20% atau pembentukan metastasis baru), tetapi kami juga menilai sama ada ubat-ubatan ini memanjangkan survival, menyebabkan tumor untuk mengecut, atau menyebabkan lebih kesan-kesan sampingan (terutama ruam dan cirit-birit).

Siasatan kajian

Kami mengulas bukti untuk perencat-perencat EGFR dalam kalangan orang dengan kanser kolorektal metastatik. Kami memilih kajian rawak yang membandingkan orang yang menerima rawatan piawai dengan mereka yang menerima rawatan piawai dan ditambah dengan perencat EGFR (termasuk jenis ubat yang lebih biasa digunakan (EGFR MAb) dan jenis ubat yang kurang biasa digunakan (EGFR TKI)). Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga September 2016 dan mengenal pasti 33 kajian melibatkan 15,025 peserta, di mana 27 kajian melihat EGFR MAb dan 6 kajian melihat EGFR TKI.

Keputusan utama

Penemuan utama kami adalah penambahan ubat EGFR MAb kepada rawatan piawai dalam kalangan orang yang tumornya adalah KRAS jenis liar mengurangkan risiko progresi penyakit sebanyak 30%. Risiko kematian dikurangkan sebanyak 12% (iaitu secara keseluruhan, pesakit hidup lebih lama), dan kebarangkalian tumor mengecut ditingkatkan daripada 31% kepada 46%. Dalam kalangan orang yang mempunyai kedua-dua KRAS dan NRAS (RAS lanjutan) jenis liar, risiko progresi penyakit dikurangkan sebanyak 40%; risiko kematian dikurangkan sebanyak 23%; dan kadar pengecutan tumor meningkat dari 21% ke 48%.

Tiada bukti perbezaan hasil gabungan EGFR MAb dengan kemoterapi dengan gabungan bevacizumab (satu lagi ubat yang disasarkan) dengan kemoterapi.

Tiada bukti penggunaan EGFR TKI memperbaiki hasil, walaupun bilangan peserta yang dikaji (dan juga kajian) adalah terlalu kecil untuk analisis formal.

Tiada bukti menambah EGFR MAb kepada kedua-dua kemoterapi dan bevacizumab memperbaiki hasil, malah didapati meningkatkan ketoksikan.

Kualiti bukti

Secara umum, bukti dikenal pasti berkualiti sederhana hingga tinggi. Sebab utama kami tidak menilai bukti semua hasil sebagai bukti berkualiti tinggi adalah kerana di dalam beberapa kajian, doktor yang merawat menilai imbasan pesakit mereka untuk pengecutan atau pertumbuhan tumor, dan pengetahuan mereka tentang jenis rawatan yang diterima oleh pesakit, menghasilkan risiko bias lebih tinggi. Satu lagi sebab kami menilai bukti sebagai berkualiti lebih rendah adalah kerana terdapat perbezaan di antara kajian-kajian yang dikumpulkan di dalam pengiraan metaanalisis (keheterogenan).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information