Penyingkiran topeng saluran pernafasan larinks selepas pembedahan semasa di bawah anestesia umum (penyingkiran awal) atau setelah sedar semula (penyingkiran lewat)

Soalan ulasan

Kami melakukan ulasan Cochrane ini untuk membandingkan keselamatan penyingkiran awal topeng saluran pernafasan larinks (LMA) dengan penyingkiran lewat, di kalangan orang yang menjalani anestesia umum.

Latar belakang

LMA adalah alat saluran udara yang digunakan untuk memastikan saluran pernafasan terbuka semasa anestesia umum di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. LMA disingkirkan setelah tamat prosedur pembedahan sama ada semasa seseorang masih di bawah anestesia (dirujuk sebagai penyingkiran awal) atau selepas seseorang terjaga sepenuhnya (dirujuk sebagai penyingkiran lewat). Pada masa ini, tidak jelas pendekatan manakah (penyingkiran awal berbanding dengan penyingkiran lewat) yang lebih baik dari segi keselamatan pesakit.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2014. Kami mengenalpasti 15 kajian rawak terkawal pada 2242 peserta yang menangani soalan ini. Semua kajian dijalankan di kalangan individu yang tidak sakit serius di bawah anestesia umum elektif. LMA klasik digunakan untuk semua kajian. Kanak-kanak terlibat dalam 11 kajian dan orang dewasa dalam lima kajian. Tiada antara kajian-kajian tersebut yang mempunyai metodologi berkualiti tinggi.

Keputusan utama

Risiko komplikasi seperti spasme larinks (penutupan ketat saluran pernafasan yang mencegah pernafasan berkesan), dan penurunan kandungan oksigen dalam darah (desaturasi), adalah serupa antara penyingkiran awal dan penyingkiran lewat LMA. Batuk lebih jarang berlaku selepas penyingkiran awal LMA, dengan risiko sebanyak 13.9% berbanding dengan risiko sebanyak 19.4% selepas penyingkiran lewat LMA. Walau bagaimanapun, sumbatan saluran pernafasan lebih berkemungkinan berlaku setelah penyingkiran awal, dengan risiko sebanyak 15.6%, berbanding dengan risiko sebanyak 4.6% setelah penyingkiran lewat LMA. Tidak terdapat data mengenai tempoh tinggal di bilik pemulihan atau di hospital, atau kepuasan pesakit. Oleh itu, secara keseluruhan, ulasan sistematik ini menganjurkan bahawa dengan bukti yang ada pada masa kini, penyingkiran awal dan lewat LMA adalah setanding di kalangan orang yang menjalani anestesia umum, dan tiada antara keduanya yang superior dari segi keselamatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang ada adalah rendah atau sangat rendah untuk semua hasil yang diterangkan. Ini terutamanya kerana perlaksanaan kajian yang lemah, sedikit orang yang telah direkrut oleh kajian, dan sebahagian kecilnya, beberapa variasi dalam keputusan kajian.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information