Perbandingan susu manusia yang diperkuat dengan pelbagai kepekatan protein untuk mempromosi pertumbuhan dan perkembangan neurologi dalam kalangan bayi pramasa

Soalan ulasan

Dalam kalangan bayi pramasa, adakah amaun protein yang digunakan untuk memperkuat susu ibu membawa sebarang perbezaan pertumbuhan dan perkembangan saraf (perkembangan otak untuk memperbaik hasil prestasi atau fungsi (contohnya kecerdasan, keupayaan membaca, kemahiran sosial, memori, perhatian atau kemahiran fokus)?

Latar belakang

Susu ibu adalah bentuk nutrisi terbaik untuk bayi pramasa. Walau bagaimanapun, oleh kerana bayi pramasa sering sukar toleran amaun susu yang banyak, mereka mungkin tidak mendapat protein yang disyorkan dari susu ibu sahaja. Sudah menjadi amalan klinikal yang lazim untuk memperkuat susu ibu untuk bayi pramasa dengan nutrien tambahan yang dikenali sebagai penguat susu manusia. Lama-kelamaan, amaun (kepekatan) protein yang diguna dalam penguat susu manusia telah meningkat, tetapi wujud perdebatan tentang kepekatan protein optimum untuk penguat susu manusia.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan data sembilan kajian melibatkan 861 bayi. Enam kajian membandingkan kepekatan protein tinggi dengan yang sederhana dalam penguat susu manusia, dan tiga kajian membandingkan kepekatan protein sederhana dengan yang rendah. Hasil utama kami adalah pertumbuhan (misalnya berat badan, panjang, ukurlilit kepala), perkembangan saraf dan kematian. Laporan tidak lengkap untuk semua hasil; kebanyakannya berisiko bias rendah atau tidak jelas. Carian adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Keputusan utama

Bayi pramasa yang diberi penguat susu manusia dengan kepekatan protein tinggi berbanding kepekatan protein sederhana menghasilkan peningkatan kecil pertambahan berat badan tetapi tiada pertambahan panjang atau pertumbuhan kepala semasa kemasukan ke hospital setelah lahir. Terdapat pertambahan kecil berat badan dan panjang dalam kalangan bayi yang diberi susu ibu dengan kandungan protein sederhana berbanding kepekatan rendah. Tiada kesan jelas kepekatan protein terhadap kematian bayi semasa dimasukkan ke hospital. Hanya ada data terhad tentang hasil kesihatan yang lain, dan bukti ini mencadangkan amaun protein dalam penguat susu manusia tidak mempengaruhi risiko jangkitan, masalah permakanan atau masalah usus. Tiada data kajian tentang pertumbuhan bayi setelah keluar dari hospital atau perkembangan jangka panjang.

Kesimpulan

Walaupun terdapat beberapa bukti penggunaan penguat susu manusia dengan kepekatan protein tinggi atau sederhana dikaitkan dengan peningkatan kecil dalam kenaikan berat badan sewaktu di hospital, tiada data tentang impak pertumbuhan setelah masuk ke hospital atau hasil perkembangannya. Kajian lanjutan dengan reka bentuk lebih baik diperlukan untuk menentukan sama ada amaun protein dalam penguat susu manusia dikaitkan dengan manfaat atau mudarat dalam jangka masa panjang.

Kepastian bukti

Kepastian bukti ini sangat rendah hingga sederhana akibat keputusan tidak konsisten yang dilaporkan oleh beberapa kajian dan potensi bias berkait dengan cara beberapa kajian dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information