Bius setempat dan serantau pada awal pembedahan untuk mencegah kesakitan berterusan selepas pembedahan

Soalan ulasan

Kami ingin menentukan jika penggunaan bius setempat (ubat kekas) semasa awal pembedahan mengurangkan risiko kesakitan yang berterusan selama tiga bulan dan lebih selepas pembedahan. Perbandingannya ialah ubat penahan sakit sahaja, seperti opioid dan ubat anti-radang bukan steroid.

Latar belakang

Kesakitan yang berterusan lama selepas pembedahan dikenali sebagai kesakitan berterusan pasca pembedahan (PPP), adalah biasa. Kerosakan tisu-tisu dan kecederaan saraf boleh mengubah laluan kesakitan dan kepekaan kepada kesakitan menyebabkan kesakitan berterusan selama berbulan-bulan. Seseorang juga mungkin merasai kesakitan yang lebih kuat atau pada rangsangan yang biasanya tidak menyebabkan kesakitan. Perubahan-perubahan ini boleh menjadi kekal. Sapuan bius setempat pada bahagian dekat dengan saraf, kumpulan saraf, atau akar saraf dalam sistem saraf pusat, seperti pada epidural, boleh mengganggu pengaliran impuls kesakitan dari tempat pembedahan ke sistem saraf pusat. Rawatan kesakitan akut yang berkesan dapat mencegah PPP. Sapuan luka menggunakan tiub rekaan khas yang mempunyai beberapa lubang yang ditempatkan dalam luka untuk memberikan bius setempat.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2016. Kami mendapati 63 kajian rawak terkawal (RCT) melibatkan peserta-peserta yang menjalani pembedahan terbuka dada, jantung, payudara, perut, vaskular, ginekologi dan pembedahan-pembedahan lain, tetapi bukan pembedahan ortopedik. RCT ialah kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada kumpulan kajian rawatan yang berbeza. Kajian-kajian ini merangkumkan orang dewasa sahaja, dan kebanyakannya dijalankan di Eropah dan Amerika Utara, dan beberapa dari China, Mesir dan Brazil. Jenis pembedahan merangkumi pembedahan yang mempunyai kadar kesakitan selepas pembedahan yang tinggi, seperti pembedahan payudara, amputasi anggota badan dan pembukaan dada, dan pembedahan berisiko rendah tetapi jumlah prosedur yang tinggi, seperti pembedahan caesar.

Kami dapat mengumpulkan keputusan dari 39 RCT yang melibatkan sejumlah 3027 peserta untuk analisis inklusif kami. Susulan dijalankan untuk 1293 peserta pada bulan ketiga, 1365 peserta pada bulan ke-enam, 326 peserta pada bulan ke-12, dan 43 peserta pada bulan ke-20 atau lebih selepas pembedahan. RCT tidak melaporkan komplikasi pembedahan dan bius secara konsisten dan maklumat tentang perkara ini adalah terhad. Kebanyakan kajian-kajian ini dibiaya oleh institusi yang menjalankan kajian tersebut.

Keputusan utama

Bius serantau mengurangkan bilangan peserta yang mengalami kesakitan berterusan selepas menjalani pembedahan bukan ortopedik. Untuk pembedahan dada terbuka, penggunaan epidural mengurangkan separuh kemungkinan seseorang mengalami kesakitan berterusan pasca operasi tiga hingga 18 bulan selepas pembedahan (7 RCT, 499 peserta, kualiti bukti sederhana). Tujuh peserta memerlukan rawatan tersebut untuk seorang mendapat manfaat.

Untuk pencegahan kesakitan berterusan tiga hingga 12 bulan selepas pembedahan barah payudara, tujuh peserta memerlukan bius serantau untuk seorang mendapat manfaat (18 RCT, 1297 peserta, kualiti bukti rendah). Penyerapan bius setempat ke urat terbukti dapat mengurangkan risiko kesakitan berterusan tiga hingga enam bulan selepas pembedahan payudara (2 RCT, 97 peserta, kualiti bukti rendah), dan tiga peserta memerlukan rawatan tersebut untuk seorang mendapat manfaat. Bius serantau dapat mengurangkan kemungkinan bagi lebih daripada separuh wanita yang mengalami kesakitan berterusan selepas pembedahan caesar (4 RCT, 551 peserta, kualiti bukti sederhana). Bilangan wanita yang dirawat untuk seorang mendapat manfaat ialah 19.

Infusi bius setempat secara berterusan pada bahagian tisu tulang diperoleh dari tulang pinggul tidak menunjukkan secara jelas pengurangan bilangan peserta yang mengalami kesakitan berterusan tiga hingga 55 bulan (3 RCT, 123 peserta, kualiti bukti rendah).

Kami tidak dapat mensintesis bukti tentang amputasi anggota badan, pembaikian hernia, pembedahan jantung atau perut kerana cara perjalanan rawatan dan kaedah pelaporan keputusan berbeza.

Kualiti bukti

Kami mendapati bukti konsisten yang menyokong penggunaan bius serantau dalam kalangan orang dewasa untuk mencegah kesakitan berterusan selepas beberapa jenis pembedahan. Walau bagaimanapun, kami mendapati perbezaan kesan dari segi ukuran, dan tempoh selepas pembedahan yang berlainan. Sesetengah kajian tidak dapat membutakan peruntukkan rawatan dan keputusan kami terjejas oleh kajian dan peserta yang sedikit, dan kehilangan susulan peserta dari semasa ke semasa. Kualiti bukti kajian yang didapati adalah rendah atau sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information