Soalan ulasan: Adakah pemberian laktoferin dengan makanan mengurangkan risiko sepsis atau enterokolitis nekrotik dalam bayi pramatang?
Latar belakang: Bayi pramatang berisiko mendapat jangkitan darah (sepsis) dan/atau kecederaan gastrousus (enterocolitis nekrotik, atau NEC). Ramai bayi dengan sepsis atau NEC mati atau mengalami kecederaan otak dan paru-paru jangka panjang walaupun mendapat rawatan dengan antibiotik. Lactoferrin, protein yang terdapat dalam susu manusia, terbukti berkesan melawan jangkitan ketika diuji pada haiwan dan di makmal. Lactoferrin juga meningkatkan keupayaan bayi untuk melawan jangkitan.
Ciri-ciri kajian: Melalui carian penulisan yang dikemas kini hingga 20 Januari 2020, kami menemui 12 kajian yang melibatkan 5425 bayi pramatang dan menguji kesan laktoferin yang diberikan dengan makanan. Kami juga menemui kajian berterusan yang dapat meningkatkan kekuatan penemuan kami apabila hasilnya tersedia.
Keputusan utama: Lactoferrin diberikan dengan makanan dengan atau tanpa probiotik mengurangkan jangkitan darah termasuk jangkitan kulat dalam kalangan bayi pramatang tanpa kesan buruk. Lactoferrin dengan probiotik, tetapi bukan lactoferrin sahaja, mengurangkan kecederaan gastrousus. Penjelasan mengenai dos, tempoh, jenis lactoferrin (manusia atau lembu), dan perkembangan bayi pramatang adalah masih diperlukan.
Kepastian bukti: Rendah hingga sangat rendah
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.