Intervensi untuk pengurusan fibrosis submukosa oral

Soalan ulasan

Rawatan manakah yang berkesan dalam menambahbaik gejala yang berkaitan dengan fibrosis submukosa oral?

Mesej utama

– Keputusan keseluruhan adalah bercampur-campur tetapi menunjukkan bahawa menggunakan ubat antioksidan amat berguna untuk merawat keadaan mulut dengan bukaan yang terhad dan berkemungkinan mengurangkan rasa terbakar di dalam mulut yang dialami oleh orang yang mempunyai fibrosis submukosa oral.

Apakah fibrosis submukosa oral?

Fibrosis submukosa oral adalah penyakit yang mengakibatkan keterbatasan pergerakan pada pipi dan mulut. Mereka yang mengalami keadaan ini selalunya mengalami rasa sakit mulut terbakar yang berterusan. Masalah ini boleh menyebabkan kesukaran untuk makan, bercakap dan menelan. Banyak ubat-ubatan telah dicadangkan untuk merawat keadaan ini dan boleh diambil melalui mulut (secara sistematik), disapu di atas permukaan (topikal) atau disuntik terus ke kawasan yang terjejas. Pelbagai bentuk pembedahan atau fisioterapi juga ada disediakan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jenis rawatan yang berkesan untuk menambahbaik gejala fibrosis submukosa oral, dan jenis rawatan yang paling berkesan. Kami juga ingin mengetahui risiko dan kesan sampingan setiap rawatan dan kekerapannya terjadi.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data jurnal perubatan dan pergigian serta kajian-kajian penyelidikan. Kami hanya memilih kajian yang dikenali sebagai kajian rawak terkawal. Dalam kajian penyelidikan ini, peserta diletakkan di dalam kumpulan secara rawak. Satu kumpulan menerima intervensi dan satu lagi menerima rawatan yang berbeza atau tiada rawatan langsung. Kajian-kajian ini bertujuan untuk mengurangkan risiko berat sebelah dalam kajian klinikal .

Kami ingin menumpukan pada keberkesanan rawatan untuk membolehkan pesakit dengan penyakit fibrosis submukosa oral kembali kepada cara makan, mengunyah dan bercakap yang normal. Oleh kerana tiada kajian melihat kepada ukuran-ukuran ini, kami memilih peningkatan dalam bukaan mulut (diukur dalam milimeter antara gigi depan atas dan bawah) dan mengurangkan rasa terbakar pada mulut (diukur pada skala dari 0 hingga 100) sebagai ukuran berkaitan dalam menambahbaik kualiti kehidupan pada mereka dengan fibrosis submukosa oral . Kami mencari perincian ukuran-ukuran ini sejurus selepas rawatan (sehingga tiga bulan), dalam jangka sederhana (tiga hingga enam bulan) dan dalam jangka panjang (selepas enam bulan). Kami juga mencari maklumat tentang sebarang 'kesan buruk’ (kesan sampingan negatif rawatan).

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 30 kajian yang berkaitan. Kebanyakan kajian melihat kepada pelbagai rawatan berbeza yang berfungsi secara berbeza. Banyak kajian membandingkan pelbagai jenis rawatan antara satu dengan yang lain. Kami memutuskan bahawa kajian membandingkan satu rawatan dengan tiada rawatan aktif adalah yang paling penting kerana kami tidak tahu yang mana, jika ada, rawatan yang benar-benar berkesan.

Keputusannya memberitahu kami bahawa ubat antioksidan (yang menghilangkan dan meneutralkan zarah tidak stabil yang terbentuk secara semula jadi semasa metabolisme atau dengan pendedahan kepada toksin persekitaran) yang diambil melalui mulut boleh menambahbaik sedikit bukaan mulut sehingga enam bulan selepas rawatan, tetapi kami tidak pasti jika ia bertahan lebih lama daripada enam bulan. Antioksidan juga boleh mengurangkan rasa terbakar di dalam mulut selama lebih daripada enam bulan selepas rawatan dan kami fikir ini mungkin penambahbaikan penting untuk mereka dengan fibrosis submukosa oral .

Bukti-bukti untuk rawatan lain yang kami telah lihat adalah sangat tidak pasti.

Hanya separuh daripada kajian ini melaporkan kesan sampingan atau kesan lain yang berpotensi memudaratkan daripada rawatan, jadi sukar untuk mengatakan dengan yakin betapa selamatnya mana-mana rawatan itu.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sederhana mengenai antioksidan membantu dalam rawatan fibrosis submukosa oral, tetapi kurang yakin dengan bukti yang lain kerana banyak kajian mempunyai batasan reka bentuk.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian sehingga 5 September 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information