Penggunaan rutin oksigen bagi mereka yang mengalami serangan jantung

Latar belakang

Ramai orang yang mengalami serangan jantung diberikan oksigen secara rutin untuk bernafas.

Soalan sorotan

Kami mencari bukti yang menyokong amalan lama ini dengan mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan hasil kajian untuk mereka yang diberikan oksigen berbanding udara biasa untuk bernafas. Kami sangat berminat untuk melihat sama ada terdapat perbezaan dalam bilangan mereka yang meninggal dunia, tetapi kami juga melihat sama ada memberikan oksigen boleh mengurangkan kesakitan atau hasil buruk yang lain.

Keputusan utama

Kami menjumpai lima kajian rawak terkawal yang membandingkan mereka yang disyaki atau disahkan serangan jantung yang diberikan oksigen dengan mereka yang diberikan udara (bukti adalah terkini sehingga Jun 2016). Kajian-kajian ini melibatkan sejumlah 1173 orang peserta, 32 daripada mereka telah meninggal dunia. Kadar kematian yang sama antara kedua-dua kumpulan mencadangkan bahawa oksigen tidak membantu atau memudaratkan, tetapi kajian-kajian ini tidak cukup besar untuk kepastian. Selain itu, ada kemungkinan bahawa lebih banyak otot jantung dirosakkan dalam mereka yang diberikan oksigen berbanding mereka yang diberikan udara.

Kesimpulan

Memandangkan tiada bukti sama ada oksigen adalah baik atau buruk untuk keadaan klinikal, maka adalah penting untuk menguji oksigen dalam kajian yang besar secepat mungkin bagi memastikan rawatan yang lazim ini membawa lebih banyak kebaikan daripada kemudaratan bagi mereka yang mengalami serangan jantung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information